Phil Jones meterai kontrak baru bersama Manchester United

Phil Jones meterai kontrak baru bersama Manchester United

LONDON, 23 Jun (Agensi) – Manchester United bakal memeteraikan kontrak baru bersama pemain pertahanan mereka Phil Jones dalam minggu ini untuk mengikatnya selama lima tahun lagi di Old Trafford.

Jones yang berusia 23 tahun itu yang juga pemain pertahanan antarabangsa England dikatakan bakal memperolehi gaji pokok setaraf dengan rakan sepasukannya, Chris Smalling iaitu sekitar 80,000 pound seminggu.

Pemain itu menyertai United dari Blackburn Rovers dengan nilai perpindahan 16 juta pound pada 2011 ketika kelab itu di bawah era Sir Alex Ferguson.

Kontrak lamanya akan tamat menjelang hujung musim akan datang dan jika United tidak memperbaharui kontraknya sekarang, Jones akan menjadi pemain bebas dan berhak menyertai kelab lain secara percuma.

Sejak United kehilangan khidmat Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic musim lalu, pertahanan United agak goyah ekoran kecederaan yang dialami oleh sebahagian besar pemain-pemain pertahanan mereka seperti Smalling, Jonny Evans dan Jones sendiri.

Namun, di sebalik kemelut itu semua, rekod pertahanan United di bawah Louis Van Gaal masih berjaya muncul sebagai yang keempat terbaik dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Sejak Jones kembali cergas dan pulih dari kecederaan, gandingannya bersama Smalling yang juga rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan England disifatkan sebagai yang terbaik selepas era gandingan Ferdinand-Vidic.

ARTIKEL YANG SAMA