Philipp Lahm kritik pemilihan Ballon d’Or

Philipp Lahm kritik pemilihan Ballon d’Or

BERLIN, 14 Jan (AFP) – Bekas kapten Jerman, Philipp Lahm mengkritik anugerah FIFA Ballon d’Or dengan menyifatkan anugerah Pemain Terbaik Tahunan itu tidak lebih daripada ‘hadiah pemasaran.’

Pertahanan kental kelab Bayern Munich itu berkata, anugerah berkenaan lebih memihak kepada ‘pemain-pemain paling popular’ berbanding yang lebih layak.

Bintang Barcelona, Lionel Messi memenangi anugerah terbabit untuk kali kelima yang juga satu rekod pada majlis di Zurich, Switzerland, awal pagi Selasa lalu, waktu Malaysia.

Pemain Argentina itu bersama pencabar utamanya dari Real Madrid, Cristiano Ronaldo berkongsi penghargaan tertinggi dari Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu sejak lapan tahun lalu.

“Saya fikir FIFA yang memberikan penghargaan, ia mestilah hadiah pemasaran yang hanya menghargai individu paling terkenal dalam bola sepak dunia,” kata Lahm kepada goal.com.

Lahm menyifatkan anugerah Pemain Terbaik Tahunan FIFA tidak lebih daripada ‘hadiah pemasaran.’ – AFP
Lahm menyifatkan anugerah Pemain Terbaik Tahunan FIFA tidak lebih daripada ‘hadiah pemasaran.’ – AFP

Lahm berkata, undian terhadap anugerah itu mungkin sudah berjalan di laman sosial Facebook sebelum mengadu mengenai sikap pilih kasih yang terarah kepada pemain di bahagian serangan dan menggambarkan anugerah terbabit sebagai ‘penyerang terbaik tahunan.’

“Ia bukan perspektif saya sebagai yang kecewa selaku pemain pertahanan namun daripada suara statistik yang tidak didengari,” katanya.

“Mungkin di dalam sukan berpasukan tidak sepatutnya hanya seorang pemain (penyerang) yang diberikan anugerah,” kata pemain berusia 32 tahun itu lagi yang lebih gemar jika anugerah itu dipecahkan kepada penjaga gol, pertahanan, pemain tengah dan penyerang terbaik.

Sejak permulaan abad ke-21, anugerah Ballon d’Or diberikan kepada sama ada penyerang atau pemain tengah menyerang kecuali ketika kapten Piala Dunia Itali, Fabio Cannavaro memenanginya pada 2006.