Piala Belia Elit B-15 27 Nov

Piala Belia Elit B-15 27 Nov

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Nov – NFABD dalam siaran akhbarnya hari ini sukacita mengingatkan kepada orang ramai bahawa Piala Belia Elit Bawah 15 Tahun (B-15) NFABD 2015 akan berlangsung di Negara Brunei Darussalam bermula dari 27 November dan berakhir pada 5 Disember 2015.

Ketua Jurulatih Tabuan B-14, Fujiwara Takao menyatakan kejohanan ini adalah peluang besar buat para pemain muda untuk memajukan diri dari segi kemahiran, mentaliti mahu menang dan pendedahan kepada kejohanan elit.

Beliau turut berpendapat dan mencadangkan supaya lebih banyak kejohanan seumpamanya dianjurkan di negara ini untuk membantu pemain muda tempatan terus membangun dan maju ke tahap tinggi seperti dihasratkan NFABD.

Pengurus Skim Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Brunei Muara (BM), Haji Mohd Noor bin Haji Hamid turut mengutarakan pendapat serupa kerana beliau melihat kejohanan seumpama itu memberi peluang kepada pemainnya untuk menimba pengalaman bermain dalam kejohanan elit.

Haji Mohd Noor juga melihat kejohanan itu sebagai peluang besar untuk ketua jurulatih peringkat umur dan kebangsaan mengenalpasti pemain berkemahiran untuk diserapkan ke dalam Pasukan ‘A’ Kebangsaan Brunei Darussalam pada masa akan datang.

Pengurus Skim JBS BM, Haji Mohd Noor.
Pengurus Skim JBS BM, Haji Mohd Noor.
Jurulatih Tabuan B-14, Fujiwara Takao.
Jurulatih Tabuan B-14, Fujiwara Takao.

Dua belas pasukan remaja elit tanah air yang akan berentap bagi merebut kejuaraan anjuran Jabatan Perkembangan Bolasepak NFABD terdiri daripada empat pasukan dari Persatuan Bolasepak Daerah, tiga pasukan sekolah (Sekolah Sukan, ISB dan JIS), tiga akademi bola sepak undangan (Akademi Kilanas, MSN United dan AKSE Bersatu) dan dua pasukan NFABD (Tabuan B-13 dan Tabuan B-14).

Bersaing dalam Kumpulan A ialah Tabuan B13, Brunei Sports School B15, Belait Black Gold B15, ISB B15, TAFA B15 (Temburong) dan Daerah Tutong B15. Kumpulan B pula diisi oleh MSN United B15, BM Skim JBS, AKSE Bersatu B15, JIS B-15, Academy Kilanas B-15 dan Tabuan B-14.

Hanya pasukan teratas setiap kumpulan iaitu selepas liga satu pusingan (round robin), akan meneruskan cabaran ke separuh akhir.

Aksi pertama kejohanan adalah pada 27 November nanti iaitu Daerah Tutong B-15 lawan Tabuan B-13, jam 9 pagi di Kompleks Sukan Berakas (KSB), dan Tabuan B-14 lawan MSN United B-15, jam 9 pagi di Padang & Balapan (P&B), Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

Pada sebelah petang pula, Belait Black Gold B-15 dijadualkan menentang TAFA B15 di KSB, jam 3 petang, dan pada masa yang sama di P&B, KSNHB AKSE Bersatu akan menentang Academy Kilanas B-15.

Pada jam 4:30 petang, Brunei Sports School B-15 akan menentang ISB B-15 di KSB dan BM Skim JBS pula akan bertemu JIS B15 di P&B, KSNHB.

Kejohanan ini berpotensi besar menjadi medan mengenalpasti pemain berbakat besar tempatan menerusi Program Mengenalpasti Bakat (TDI) yang akan dijalankan di sepanjang kejohanan itu nanti.

NFABD berharap untuk membawa masuk pemain muda terbaik kejohanan ke dalam program perkembangan berstruktur NFABD demi melatih mereka sebelum diserapkan bagi menguatkan lagi pasukan kebangsaan sebagai persiapan menyertai kejohanan peringkat yang lebih tinggi.

Kejohanan ini disokong oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan ditaja oleh KWAD Sdn Bhd, Superwater Marketing Sdn Bhd, DST, Lotto, Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, Brunei Times Sdn Bhd dan Aewon Brunei Sdn Bhd.

NFABD mengumumkan kemasukan untuk menyaksikan kejohanan elit itu nanti adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang NFABD di www.nfabd.org.