Piala Dunia 2022: Dua puluh lapan hari tidak mencukupi

Piala Dunia 2022: Dua puluh lapan hari tidak mencukupi

HOOFDDORP, Belanda, 10 Sept – Dua puluh lapan hari adalah tidak mencukupi untuk memainkan Piala Dunia 2022, menurut kesatuan pemain dunia FIFPro semalam. Setiausaha Agung FIFPro, Theo van Seggelen berkata dia juga bimbang mengenai kemungkinan pertandingan domestik diteruskan ketika kejohanan di Qatar berlangsung.

“Ia adalah kisah berterusan,” beritahu Van Seggelen kepada Reuters. “Kebimbangan kami adalah mustahil untuk pemain bermain dalam satu kejohanan dalam empat minggu. “Bayangkan… anda bermain pada Sabtu dan Ahad dalam pertandingan berlainan.

“Seterusnya pada Isnin mereka meninggalkan terlebih dahulu untuk pergi ke negara mereka sendiri. Jurulatih bertanyakan khabar dan pada hari yang sama, mereka perlu berkunjung ke Qatar, mereka mengadakan perjalanan selama dua hari, dan seterusnya mereka bermain empat atau lima atau tujuh perlawanan.

“Tidak adanya tempoh rehat, tidak adanya persediaan untuk mana-mana pasukan kebangsaan, ia adalah gila. Semua orang membuat kesimpulan bahawa adalah amat sukar untuk bermain dalam satu kejohanan dalam masa yang begitu singkat.”

FIFA memutuskan pada Mac bahawa Piala Dunia 2022 akan diadakan pada November dan Disember, dan bukannya slot tradisional pada Jun/Julai, untuk mengelak cuaca panas musim panas di Qatar. Badan bola sepak berkata perlawanan final akan diadakan pada 18 Disember dan menambah, pada dasarnya, kejohanan akan berakhir dalam tempoh singkat kira-kira 28 hari, dan bukannya 31 atau 32 hari, untuk mengurangkan kesan ke atas musim kelab Eropah.

Kalendar antarabangsa untuk 2019-2022 masih dirangka dan Van Seggelen berkata dia difahamkan Piala Dunia hanya boleh bermula beberapa hari selepas perlawanan domestik pada hujung minggu.

Ia meninggalkan pasukan kebangsaan tanpa persediaan atau masa latihan, yang biasanya mempunyai dua minggu untuk bersedia untuk kejohanan antarabangsa.

Van Seggelen juga bimbang beberapa liga domestik akan diteruskan ketika Piala Dunia. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA