Piala Dunia 48 pasukan dibahas

Piala Dunia 48 pasukan dibahas

LAUSANNE, 13 Okt – Rancangan Presiden FIFA Gianni Infantino untuk mengembangkan Piala Dunia berhadapan ujian utama pada mesyuarat tertinggi eksekutif badan bola sepak dunia itu, lewat hari ini.

Infantina mahu mengembangkan kejohanan kepada 48 pasukan tetapi mencetuskan perbalahan apabila pengkritik berkata langkah itu akan mencairkan kualiti pertandingan Piala Dunia kerana kalendar bola sepak sedia ada memang sudah padat.

“Bukan lagi satu rahsia bahawa saya percaya dalam pengembangan Piala Dunia,” Infantino memberitahu AFP minggu lalu yang berhasrat untuk memilih 48 pasukan pada 2026.

Infantino telah mengutarakan cadangan yang bakal menyaksikan pemenang 16 kumpulan pusingan kelayakan secara automatik menempah tempat dalam kejohanan.

Tambahan 32 pasukan akan bertarung dalam pusingan pra-kejohanan di mana 16 negara bersaing untuk masuk ke Piala Dunia.

Infantino memberikan pose kepada jurugambar semasa temu bual bersama wartawan di ibu pejabat FIFA di Zurich pada 5 Oktober lalu. – AFP
Infantino memberikan pose kepada jurugambar semasa temu bual bersama wartawan di ibu pejabat FIFA di Zurich pada 5 Oktober lalu. – AFP

Infantino memberitahu AFP bahawa format ideal untuk Piala Dunia sepatutnya 32 pasukan tetapi itu tidak akan menghalang beliau daripada berusaha untuk memperluaskan peluang kepada lebih banyak negara untuk meningkatkan pendapatan FIFA.

Tiga puluh enam anggota Majlis FIFA yang berkuasa akan menimbang idea itu pada mesyuarat hari ini dan esok tetapi keputusan muktamad tidak akan dibuat sehingga tahun depan, kata Infantino.

Infantino menerajui badan induk bola sepak dunia itu hampir lapan bulan sejak krisis yang tidak disangka-sangka melanda FIFA sehingga menjuruskan Joseph Blatter meletak jawatan.

Tempoh perkhidmatan beliau menghadapi pelbagai cabaran: menjadi sasaran siasatan etika tetapi akhirnya dibersihkan daripada sebarang salah laku, bekas eksekutif tertinggi pula menyelar beliau sebagai autokrat dalam surat peletakan jawatannya, manakala pendakwa raya di Amerika Syarikat dan Switzerland terus menyiasat rasuah FIFA yang sudah berakar-umbi sejak beberapa dekad.

Tetapi Infantino menegaskan dia kekal menumpukan kepada pembaruan sebuah organisasi yang telah jatuh ke dalam lembah kehinaan di bawah pimpinan bekas presiden Sepp Blatter.

Peguam berusia 46 tahun dan bekas orang nombor dua UEFA itu telah mengembangkan bola sepak pada peringkat global dan meningkatkan pendapatan FIFA sebagai keutamaan.

Seorang eksekutif pemasaran yang bekerja dengan Infantino di UEFA yang enggan dikenali memberitahu AFP bahawa ketua FIFA itu mendesak kejohanan 48 pasukan tetapi mungkin akan berpuas hati dengan format 40 pasukan.

World Cup

Idea 40 pasukan telah dikaji tahun lepas oleh jawatankuasa eksekutif FIFA sejak dinamakan semula sebagai Majlis FIFA tetapi tiada keputusan muktamad sudah dicapai.

Seorang lagi ahli Majlis FIFA yang juga enggan dikenali berkata, penyiar yang membayar yuran hak penyiaran yang amat lumayan mungkin mempunyai kata putus mengenai apa-apa perubahan kepada format Piala Dunia.

Kanak-kanak Palestin yang berarak ke penempatan Israel minggu ini sambil melaungkan ‘Infantino mari kita bermain’ merupakan peringatan jelas bagi cabaran yang bakal dihadapi oleh pemimpin FIFA.

Persatuan Bola Sepak Palestin telah menulis surat kepada Infantino menyeru FIFA untuk menuntut Persatuan Bola Sepak Israel mengusir kelab penempatan Yahudi di Tebing Barat yang dianggap tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.

Infantino memberitahu AFP minggu lepas bahawa isu ini merupakan ‘salah satu keutamaan’ beliau. Mesyuarat akan mendengar laporan isu Israel Palestin daripada ketua pemantauan misi FIFA ke kawasan itu, Sexwale Tokyo dari Afrika Selatan.

Hubungan tegang Israel dengan dunia Islam juga mempunyai isu lain yang perlu dihadapi oleh Majlis FIFA: venue Kongres badan bola sepak dunia itu pada masa akan datang.

Kuala Lumpur yang dijadualkan untuk menjadi tuan rumah Kongres pada Mei 2017 tetapi enggan memberi visa kemasukan kepada pegawai bola sepak Israel merupakan satu pendirian yang menghalang Malaysia daripada menjadi tuan rumah. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA