Piala Dunia Rusia, Qatar mungkin dilucutkan

Piala Dunia Rusia, Qatar mungkin dilucutkan

GENEVA, 8 Jun – Rusia dan Qatar boleh dilucutkan hak penganjuran Piala Dunia 2018 dan 2022 sekiranya bukti mengenai pembabitan rasuah ditemui ketika proses bidaan, menurut kenyataan dipetik daripada pegawai FIFA.

Komen daripada Ketua Jawatankuasa Audit dan Kepatuhan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Domenico Scala itu hadir ketika dakwaan rasuah terhadap bekas naib presiden badan induk itu, Jack Warner kian meningkat.

Begitupun katanya, ‘bukti mengenai perkara terbabit masih belum diterima’ setakat ini. Kenyataan dikeluarkan Scala adalah yang pertama dibuat pegawai kanan FIFA yang membuka kemungkinan sama ada Russia atau Qatar digugurkan hak untuk menganjurkan salah satu kejohanan terbesar sukan dunia itu.

Pihak berkuasa undang-undang Switzerland sudah pun melancarkan siasatan mengenai kemenangan hak penganjuran Piala Dunia kepada Qatar dan Russia dengan skandal rasuah turut terpalit kepada penganjuran Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

pg24_150609_b

Sekitar 14 bekas dan pegawai dan eksekutif pemasaran FIFA turut disoal oleh pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) kerana dikatakan terbabit dalam skim sogokan yang membabitkan sejumlah AS$150 juta.

Pendedahan mengejutkan itu membuatkan badan induk bola sepak dunia itu goyah sehingga membawa kepada pemecatan Presidennya, Sepp Blatter minggu lalu – hanya empat hari selepas dilantik semula untuk penggal kelima. Pengganti Blatter tidak akan dipilih dalam masa terdekat, namun bekas Timbalan Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Freddy Rumo berkata, penukaran pucuk pimpinan tidak akan membasmi sepenuhnya rasuah dalam organisasi terbabit.

Sekalipun Blatter tidak didakwa dan menafikan melakukan sebarang kesalahan, segala skandal berlegar di sekeliling bekas orang kuatnya, Warner. – AFP