Piala FA-DST 22 September

Piala FA-DST 22 September

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Piala FA-DST 2015 akan bermula 22 September ini, yang akan menyaksikan sebanyak 29 pasukan berentap untuk merebut piala berprestij berkenaan beserta wang tunai $7,000 yang ditawarkan untuk juara, termasuk penyandang gelaran juara, MS ABDB.

Sehubungan itu Majlis Perjumpaan Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (NFABD) bersama para pengurus pasukan dalam Piala FA-DST 2015 berlangsung malam tadi.

Mempengerusikan perjumpaan dihadiri para pengurus pasukan Non-Liga (bukan liga) dan Liga Perdana DST 2015 itu ialah Pengarah Pertandingan NFABD, Haji Abdul Razak bin Haji Hasbullah.

Agenda perjumpaan yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin sendiri oleh Haji Abdul Razak itu termasuklah penerangan mengenai pengundian dan menjalankan undian bagi pasukan Non-Liga dan pasukan Liga Perdana DST 2015, peraturan dan undang-undang am pertandingan, jadual perlawanan dan juga venue.

Pengundian dibahagikan dua bahagian bermula undian Pusingan Pertama bagi Kelab Non-Liga, disusuli undian Pusingan Kedua bagi Kelab Liga Perdana DST 2015. Semua perlawanan dijadualkan bermula pukul 8:15 malam.

Ketua Jurulatih Tabuan B-16 ketika melakukan undian untuk pasukannya sambil kelihatan Haji Abdul Razak (2 dari kanan) memerhatikannya.
Ketua Jurulatih Tabuan B-16 ketika melakukan undian untuk pasukannya sambil kelihatan Haji Abdul Razak (2 dari kanan) memerhatikannya.

Sejumlah 11 pasukan Non-Liga akan menyertai Piala FA-DST 2015 dan setelah undian dijalankan, perlawanan pertama bakal menyaksikan pertembungan di antara TelBru FT dengan Pandan 14, pada 22 September di Kompleks Sukan Tutong (KST).

Perlawanan kedua yang dijadualkan pada tarikh yang sama tetapi berlainan venue iaitu di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) pula akan mempertemukan antara Great United dengan Hawa FT.

Pada 29 September akan turut menyaksikan dua perlawanan dijalankan serentak iaitu PFA lawan Tabuan U-16 di Kompleks Sukan Berakas (KSB) dan Mengellela FT lawan FC Phosphor di Padang & Balapan, KSNHB.

Perlawanan kelima pada 30 September pula merupakan pertemuan DSP United dengan WLF yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Berakas. Pemenang perlawanan kelima itu kemudiannya perlu berlawan dengan BTC Red Star yang terundi ‘bye’, pada perlawanan keenam 5 Oktober nanti di KST.

Undian Pusingan Kedua bagi Kelab Liga Perdana (sejumlah 8 pasukan) pula menyaksikan tiga perlawanan akan dijalankan serentak pada 7 Oktober iaitu Setia Perdana lawan TelBru FT atau Pandan 14 di Padang & Balapan, KSNHB, Panchor Murai FC lawan Great United atau Hawa FT di KSB dan Rimba Star lawan PFA atau Tabuan B-16 di KST.

Pada 21 Oktober akan turut menyaksikan dua perlawanan iaitu Menglait FC lawan Mengellela FT atau FC Phosphor di Padang & Balapan, KSNHB dan BESA FC lawan pemenang perlawanan keenam di KSB.

Dua pasukan Liga Perdana DST 2015 pula terundi bertemu antara satu sama lain pada 27 Oktober di Padang & Balapan, KSNHB iaitu Tunas FC dengan Kota Ranger FC.

Pemenang perlawanan kedua belas ini kemudiannya perlu menentang Kasuka FC (yang terundi ‘bye’) pada perlawanan ketiga belas, 30 Oktober nanti di KST.

ARTIKEL YANG SAMA