Piala FA: Liverpool berdepan Everton

LONDON, 6 Dis – Liverpool akan menanti kunjungan pencabar dari bandar raya sama, Everton buat kali kedua dalam sebulan apabila mereka bertemu pada pusingan ketiga Piala FA pada awal Januari selepas undian dibuat hari ini.

Liverpool – yang menewaskan Everton pada separuh akhir 2012, pertembungan terakhir mereka pada Piala FA – juga akan menanti kehadiran jiran yang sedang bergelut itu pada saingan Liga Perdana Inggeris pada Ahad.

Everton melalui tempoh yang sukar dalam Liga Perdana setakat ini dan gagal mara ke saingan kalah mati Piala Europa walaupun mereka memiliki pakar menyelamatkan diri, Sam Allardyce yang kini dilantik sebagai pengurus.

Selain itu, cabaran pertama penyandang gelaran, Arsenal ialah saingan di tempat lawan bertemu pasukan divisyen dua Nottingham Forest manakala pendahulu Liga Perdana, Manchester City bertemu Burnley di tempat sendiri.

Bukan hanya Arsenal menjadi pasukan gergasi Liga Perdana akan bertemu pasukan divisyen dua dengan Manchester United akan menanti kehadiran Derby County dan pasukan yang tewas pada final musim lalu, Chelsea akan ke Norwich.

Beberapa pasukan Liga Perdana juga boleh tumbang berdepan lawan masing-masing.

Pasukan tidak konsisten Southampton akan ke Fulham manakala kelab bergelut, West Ham dan Swansea masing-masing akan ke pasukan divisyen tiga, Shrewsbury dan pendahulu Liga Kejuaraan, Wolverhampton Wanderers. – AFP