Piala Raja Sepanyol: Barca terus mara

Piala Raja Sepanyol: Barca terus mara

MADRID, 21 Jan – Barcelona melakar kemenangan 2-1 ke atas Athletic Bilbao di sebalik ketiadaan dua bintang utama, Lionel Messi dan Luis Suerez pada pertembungan suku akhir pertama Piala Raja Sepanyol, awal pagi tadi.

Messi tidak diturunkan atas kecederaan hamstring manakala Suarez melengkapkan penggantungan dua perlawanan dengan pelawat menguasai penuh babak pertama apabila meledak dua gol dalam tempoh enam minit menerusi Munir El Haddadi dan Neymar.

Begitupun, gol Bilbao menerusi Aritz Aduriz yang juga gol ke-23 miliknya musim ini memberi kelegaan buat tuan rumah pada pertembungan kedua di Nou Camp, minggu depan.

Pendahulu La Liga, Atletico Madrid juga terpaksa bekerja keras untuk melangkah ke peringkat seterusnya apabila diikat seri 0-0 oleh Celta Vigo pada aksi pertama.

“Gol (lewat) itu memberi pertembungan timbal balik sukar buat kami, namun saya fikir kami bermain permainan yang hebat dan kini kami memiliki perlawanan kedua di laman sendiri,” kata Neymar kepada Canal Plus.

Pemain Barcelona meraikan jaringan semasa menentang Athletic Bilbao dalam aksi suku akhir pertama Piala Raja Sepanyol, kelmarin. - Reuters
Pemain Barcelona meraikan jaringan semasa menentang Athletic Bilbao dalam aksi suku akhir pertama Piala Raja Sepanyol, kelmarin. – Reuters

“Ada sedikit bahaya kerana mereka adalah pasukan yang hebat dan mempunyai pemain-pemain yang boleh mengubah perlawanan. Kami perlu memberi tumpuan.”

Pada pertembungan La Liga Ahad lalu, Barcelona membenar Bilbao yang beraksi 10 pemain selain menang 3-1 pada pertembungan final Piala Raja Sepanyol, musim lalu.

Juara Eropah dan penyandang juara itu meledak jaringan pembukaan menerusi Haddadi pada minit ke-18 sebelum bintang Brazil, Neymar menambah gol pada minit ke-24.

Tuan rumah mendominasi perlawanan pada babak kedua namun di sebalik pertembungan seakan berakhir tanpa tambahan jaringan, tandukan Aduriz di hujung babak perlawanan memberi ruang kepada Bilbao.

Dalam pada itu, jurulatih Atleico, Diego Simeone menyifatkan keputusan seri di laman lawan memberi kelebihan buat Celta yang membuat kunjungan ke Vicente Calderon, minggu depan. – AFP