Piala Remaja NFABD semakin hangat

Piala Remaja NFABD semakin hangat

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Empat buah pasukan iaitu Tabuan ‘A’, Tabuan ‘B’, Tabuan 03 dan Projek Ikan Pusu (PIP) mara ke perlawanan separuh akhir Piala Remaja Elit Bawah 16 Tahun Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) 2016 setelah keempat-empat pasukan tersebut menjadi juara dan naib juara kumpulan masing-masing.

Pada Jumaat lepas, Pasukan PIP yang juga pasukan pertama untuk melayakkan diri ke pusingan empat pasukan terakhir menewaskan pasukan yang belum pernah tewas sebelum ini iaitu Tabuan ‘A’ dengan jaringan 3-0.

Dalam perlawanan hari ini, mereka sekali lagi membuktikan kemenangan ke atas Tabuan ‘A’ itu bukan satu kebetulan apabila membelasah Perda FC 5-0 di Kompleks Padang dan Balapan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah untuk mengungguli Kumpulan A dengan sembilan mata.

Tabuan ‘A’ pula mengekalkan kedudukan di tangga kedua dengan enam mata apabila mereka menewaskan BTC Red Star 6-1 di Padang NFABD.

Sementara itu, dalam aksi Kumpulan B di tempat yang sama, Tabuan ‘B’ dan Tabuan 03 berkongsi satu mata setelah seri 1-1 namun Tabuan ‘B’ menduduki tempat pertama kumpulan dengan tujuh mata diikuti Tabuan 03 dengan lima mata.

PIP (jersi kuning) ketika menentang Perda FC yang berkesudahan 5-0. - Gambar NFABD
PIP (jersi kuning) ketika menentang Perda FC yang berkesudahan 5-0. – Gambar NFABD

Ketua Jurulatih PIP, Haji Omar bin Haji Jamil ketika ditemui menjelaskan bahawa pasukannya telah pun melayakkan diri ke perlawanan separuh akhir pada Jumaat lepas, namun PIP tetap mengekalkan permainan serangan agresif mereka ketika menentang Perda FC.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih buat NFABD kerana telah menganjurkan kejohanan untuk golongan remaja ini. Secara keseluruhan, saya gembira dengan keputusan ini. Namun, kami boleh sahaja menjaringkan lebih banyak gol jika tidak disebabkan penyudahan kami yang lemah. Kami perlu memperbaiki perkara tersebut,” ujar Haji Omar.

“Secara peribadi, saya bangga PIP adalah satu-satunya pasukan yang bukan di bawah NFABD untuk layak ke separuh akhir,” tambah beliau.

Perlawanan separuh akhir akan diadakan pada 25 November nanti dan akan menyaksikan PIP menentang Tabuan 03 di Padang NFABD, sementara Tabuan ‘A’ akan melayani Tabuan ‘B’ di Kompleks Sukan Berakas untuk menempah tempat ke perlawanan akhir pada 27 November di Kompleks Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.