Piala SC sumbang $2,400 kepada rumah kebajikan

Piala SC sumbang $2,400 kepada rumah kebajikan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April – Piala Standard Chartered (SC Cup) 2016 untuk Tabung Kompleks Rumah Kebajikan, Negara Brunei Darussalam telah berjaya mengumpul sejumlah $2,400.

Jumlah terkumpul itu berjaya diperolehi hasil daripada yuran pendaftaran kejohanan sebanyak $100 sepasukan daripada sebanyak 24 pasukan futsal tempatan yang terpilih menyertai kejohanan lima hari (4-9 April) berkenaan.

Kejohanan 2-dalam-1 di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) anjuran Bank Standard Chartered Brunei yang menaja sepenuhnya perjalanan juara, HMD FT, ke Anfield, Liverpool pada 5-9 Mei nanti itu disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan diendors oleh NFABD.

Selain mencari wakil Brunei Darussalam ke Anfield, Liverpool, kejohanan turut menjadi medan bagi mengumpul dana bagi Tabung Kompleks Rumah Kebajikan, Negara Brunei Darussalam, 100 peratus menerusi kutipan yuran pendaftaran kejohanan sebanyak $100 sepasukan.

Rino Donosepoetro menyerahkan cek replika kepada Haji Khairul Ariffin.
Rino Donosepoetro menyerahkan cek replika kepada Haji Khairul Ariffin.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Standard Chartered Brunei, Rino Donosepoetro telah menyerahkan cek replika $2,400 untuk Tabung Kompleks Rumah Kebajikan berkenaan kepada Pegawai Kaunseling dari Jabatan Pembangunan Masyarakat, Haji Khairul Ariffin bin Haji Abdul Aji.

Hadir menyaksikan penyerahan cek berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Di perlawanan akhir malam tadi, HMD FT muncul juara selepas mengalahkan Plan C FT dengan jaringan 3-0.

ARTIKEL YANG SAMA