Piala Sumbangsih DST buka tirai

Piala Sumbangsih DST buka tirai

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mac – Musim Liga Bolasepak Brunei 2016 akan membuka tirainya pada 5 Mac ini dengan Piala Sumbangsih DST Brunei 2016 antara MS ABDB dengan Indera SC.

Perlawanan-perlawanan dalam Liga Perdana DST Brunei 2016 pula akan bermula selepas itu, iaitu pada 11 Mac dengan dua perlawanan, manakala Liga Super DST Brunei 2016 akan dijadualkan bermula pada 12 Mac, juga dengan dua perlawanan.

Sehubungan dengan itu, malam tadi telah pun diadakan Mesyuarat Pengurus-pengurus Pasukan Liga Super DST Brunei 2016 dan Liga Perdana DST Brunei 2016 di NFABD House.

Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, disusuli dengan taklimat mengenai takaful yang akan melindungi para pemain di sepanjang berlangsungnya Musim Liga Bolasepak Brunei 2016 nanti oleh Pegawai Eksekutif Jabatan Korporat Takaful Brunei Am.

Mesyuarat kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan dan penerangan daripada Pemangku Pengarah Pertandingan NFABD, Awang Dayem bin Haji Ali, mengenai perkara berkaitan dengan peraturan/syarat perlawanan Liga Super DST Brunei 2016 dan Liga Perdana DST Brunei 2016.

Awang Dayem (tiga kanan) ketika berucap pada Mesyuarat Pengurus Pasukan Liga Super DST Brunei 2016 & Liga Perdana DST Brunei 2016.
Awang Dayem (tiga kanan) ketika berucap pada Mesyuarat Pengurus Pasukan Liga Super DST Brunei 2016 & Liga Perdana DST Brunei 2016.

Agenda mesyuarat berikutnya ialah penerangan mengenai dengan Undang-undang Permainan (Law of the Game) oleh wakil daripada Persatuan Pengadil Bolasepak Negara Brunei Darussalam.

Turut menghadiri mesyuarat berkenaan ialah EXCO NFABD, Awang Matussin bin Sumpong dan Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz.

Liga Perdana DST Brunei 2016 yang akan melibatkan 11 buah pasukan dijadualkan berlangsung dari 11 Mac hingga 31 Julai, manakala Liga Super DST Brunei 2016 yang mengandungi 10 buah pasukan akan beraksi dari 12 Mac hingga 24 Julai.

10 buah pasukan Liga Super DST Brunei 2016 ialah MS ABDB (juara bertahan), Indera SC, Najip I-Team, Tabuan Muda, Wijaya FC, Jerudong, MS PDB, Lun Bawang, Kota Ranger FC dan Kasuka FC.

Bagi Liga Perdana DST Brunei 2016 pula, sembilan buah pasukan sudah pun diketahui iaitu IKLS FC, Kilanas FC, Tabuan B-17 (musim lalu Tabuan B-18), Panchor Murai FC, BSRC FT, BESA FC, Mengelait FC, Rimba Star FC dan Setia Perdana.

Manakala dua kuota lagi bagi mencukupkan sebelah kuota yang diperuntukkan akan diisi oleh dua pasukan teratas dalam kelayakan ‘play-off’ liga satu pusingan empat pasukan iaitu dua pasukan terbawah Liga Perdana DST 2015: Tunas FC dan Perkasa FC, Juara Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015 dan Juara Liga Persatuan Bolasepak Amatur Daerah Tutong (TDAFA) DST 2015.

ARTIKEL YANG SAMA