Piala Yayasan buka tirai

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Khairil Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Dua belas pasukan akan berentap dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 2018 yang membuka tirainya hari ini di Kompleks Sukan Menglait, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian kejohanan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki Takhta

tersebut adalah Pengarah Urusan Yayasan, Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny.

Majlis dimulakan dengan penyerahan piala rebutan daripada juara bertahan iaitu Pasukan 88 kepada tetamu kehormat majlis sebelum disampaikan pula kepada Presiden Persatuan Sepak Takraw Negara Brunei Darussalam (PESTABARU), Pengiran Haji Ali Hassan bin Pengiran Dato Seri Laila Jasa Haji Abas diikuti dengan sesi suai kenal bersama barisan pasukan dan undian permainan pertama.

Dato Paduka Eddie membacakan teks pembukaan rasmi Kejohanan Sepak Takraw Piala Yayasan di Kompleks Sukan Menglait, Gadong, hari ini.
Semasa sesi suai kenal tetamu kehormat majlis bersama pengurus dan pasukan yang menyertai kejohanan itu.

Dalam Kumpulan A pasukan yang bakal berentap adalah Pasukan Sengkurong B, Majlis Sukan Polis Diraja Brunei A dan Muara Spurs B, manakala Kumpulan B bakal menyaksikan pertembungan Pasukan Sengkurong C, Majlis Sukan Polis Diraja Brunei B, Pasukan 88 B.

Kumpulan C pula menempatkan Pasukan Muara Spurs A, Majlis Sukan Polis Diraja Brunei C dan Sengkurong A, manakala Kumpulan D menempatkan Pasukan Pancha Delima, Triple H dan  Pasukan 88 A.

Dua pasukan teratas akan melangkah ke pusingan kedua dan semua perlawanan hari ini dan Ahad akan diadakan di Kompleks Sukan Menglait, Gadong.

Kejohanan ini dianjurkan dengan kerjasama PESTABARU dan Yayasan dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.