Piawaian bagi tanaman organik

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Bagi memberigakan mengenai Standard Brunei bagi Perladangan Organik (Sayuran dan buah-buahan) PBD 27:2016, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah mengadakan jerayawara yang berlangsung di Dewan Simpur, Pusat Urusniaga Hortikultur Rimba Gadong, hari ini.

Hadir semasa taklimat tersebut ialah Pemangku Timbalan Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Khartini binti Haji Musa.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, pegawai-pegawai Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, guru-guru sekolah menengah dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei, peladang dan pengusaha tanaman yang berpotensi untuk mengusahakan ladang organik, pengusaha pasar raya, restoran dan katering yang berminat memasarkan produk sayur-sayuran dan buah-buahan organik tempatan.

Pemberigaan telah dimulakan dengan taklimat daripada Jabatan Pertanian dan Agri-makanan yang disampaikan oleh Awang Mohd Izzannudin bin Haji Bujang dan taklimat dari Pusat Standard Kebangsaan, Jabatan Tenaga dan Perindustrian yang disampaikan oleh Hajah Noorlela binti DPS Haji Abd Rahman.

Antara tujuan taklimat berkenaan adalah untuk memperkenalkan Standard Brunei bagi Perladangan Organik (Sayuran dan buah-buahan) PBD 27:2016 kepada orang ramai dan pengusaha tanaman bagi mendukung pembangunan ladang-ladang organik tempatan secara bersistem bagi menjamin keselamatan dan mengawal kualiti produk-produk organik tempatan mengikut piawaian standard Brunei berkenaan bagi pasaran tempatan dan eksport.

Hajah Khartini hadir semasa sesi taklimat yang berlangsung di Dewan Simpur, Pusat Urusniaga Hortikultur Rimba Gadong.
Awang Mohd Izzannudin semasa menyampaikan taklimat berkenaan.

Piawaian tersebut menyediakan garis panduan untuk tanaman (termasuk cendawan), penuaian tanaman liar (tidak termasuk madu), lepas tuai, pemprosesan, pengendalian, penyimpanan, pengangkutan dan pelabelan produk-produk organik, dan produk organik yang diproses untuk produk-produk makanan.

Antara kandungan piawaian yang ditekankan adalah keperluan pengurusan penghasilan tanaman, kepentingan penyimpanan rekod bagi ladang pertanian organik bagi memestikan kebolehkesanan dan jaminan keselamatan produk-produk organik, senarai bahan-bahan yang dibenarkan dalam menghasilkan produk-produk pertanian organik yang diselaraskan di antara negara-negara ASEAN.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), bagi mendukung pembangunan dan pengiktirafan ladang-ladang organik tempatan secara bersistem, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah selesai menyusun dan menyiapkan penerbitan piawaian Standard Brunei bagi Perladangan Organik (Sayuran dan buah-buahan) PBD 27:2016.

Garis panduan piawaian nasional ini juga merupakan penyesuaian daripada Standard ASEAN bagi Pertanian Organik (ASOA) di mana Brunei adalah negara anggota aktif pasukan petugas dari tahun 2013.

Piawaian berkenaan akan menjadi panduan asas bagi pembangunan dan pengurusan ladang pertanian organik di negara ini secara bersistem bagi menjamin kualiti penghasilan produk-produk organik di pasaran tempatan dan bagi memudahkan pemasaran eksport terutama ke negara-negara ASEAN.