PIBB memperkasa belia

PIBB memperkasa belia

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh KKBS

 

BANDAR SERI BEGAWAN 1 Dis – Bagi merealisasikan Wawasan Brunei 2035 agar rakyat menikmati kehidupan yang berkualiti tinggi, Program Inovasi Belia Berwawasan (PIBB) untuk membangunkan minda dan kemahiran belia dilancarkan, hari ini.

Program yang diperkenalkan itu melibatkan 14 orang belia yang berumur antara 18 hingga 21 tahun untuk mengikuti program selama sembilan bulan. Para belia ini adalah anak-anak yang menerima bantuan kebajikan bulanan daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Majlis pelancaran PIBB di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu dilancarkan oleh Menteri Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Dayangku Siti Saihalina binti Pengiran Haji Mohd Daud semasa ditemu bual pada majlis itu berkata, program yang baru diperkenalkan ini mempunyai tiga fasa iaitu fasa pertama, Penghijrahan Diri dan Minda.

“Dalam fasa ini, jelasnya, para peserta akan mengikuti Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) selama tiga bulan bagi membangunkan jati diri dan minda manakala fasa kedua ialah Latihan Kemahiran Asas Abad ke-21.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi merasmikan PIBB.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi merasmikan PIBB.

“Untuk fasa kedua ini, peserta akan mengikuti kemahiran asas pendidikan di Politeknik Brunei yang akan dikendalikan secara gandingan ‘mentor-mentee’,” tambahnya.

Dalam fasa ini juga, setiap peserta akan digandingkan dengan seorang pelajar Politeknik Brunei sebagai pembimbing.

“Manakala fasa ketiga ialah penempatan pekerjaan, di mana para peserta akan menjalani latihan industri di beberapa buah syarikat swasta bagi memberikan pendedahan alam pekerjaan kepada mereka bagi mempertingkatkan peluang pekerjaan dan kebolehpasaran peserta,” tambahnya.

Beliau seterusnya menambah, program ini turut mendapat sokongan daripada sektor kerajaan dan bukan kerajaan dalam sama-sama merealisasikan belia yang bermotivasi tinggi serta berdisiplin.

Antara objektif program ini ialah membantu memperkasa belia melalui penghijrahan minda dan peningkatan kepercayaan diri selain memberikan latihan kemahiran asas pekerjaan dan mengurangkan jumlah penerima bantuan kerajaan khususnya golongan belia.

Program ini merupakan kerjasama di antara JAPEM, KKBS dan Politeknik Brunei, Kementerian Pendidikan untuk memperkasakan jati diri dan minda serta meningkatkan kemahiran para belia mengharungi kehidupan yang serba mencabar.

Majlis diserikan lagi dengan tayangan video klip PIBB diikuti dengan penandatanganan plak kerjasama di antara Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir dan Pengarah Politeknik Brunei, Awang Denis Ho Mun Tai.

PIBB merupakan sebuah program perintis yang dibangunkan bagi memperkasakan belia dengan memperlengkapkan mereka dengan kemahiran asas alaf ke-21 bagi menyediakan mereka memasuki alam pekerjaan.

PIBB ini merupakan kesinambungan projek perintis BKB 100 yang dipersetujui oleh Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS) untuk dilaksanakan dengan memilih 100 ketua keluarga penerima bantuan kebajikan bulanan yang tidak mempunyai pekerjaan bagi membolehkan mereka keluar daripada kebergantungan kepada bantuan saja.

ARTIKEL YANG SAMA