PIBG sama-sama anjur Sambutan Hari Keluarga Kiarong

PIBG sama-sama anjur Sambutan Hari Keluarga Kiarong

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar berganding bahu bersama Majlis Perundingan Kampung (MPK) dan Persatuan Belia Kampung Kiarong bagi mengadakan Majlis Sambutan Hari Keluarga Kiarong, yang diadakan di perkarangan sekolah itu, di sini, hari ini.

Majlis sambutan yang diadakan selama dua hari, hari ini dan Ahad, itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik bagi penglibatan orang ramai yang berkunjung ke sana.

Setiausaha PIBG sekolah itu, Pengiran Haji Homahdini bin Pengiran Haji Junaidi ketika ditemui berkata, acara tahunan ini adalah usaha penyatuan antara pihak penganjur dan masyarakat setempat serta orang ramai.

“Kami menjemput orang ramai untuk datang ke sini bagi menyemarakkan lagi sambutan hari keluarga yang pastinya menjadi wadah mengeratkan silaturahim yang sangat berkebajikan,” ujarnya.

Mengulas mengenai aktiviti yang diadakan, menurutnya pelbagai aktiviti jualan, mainan dalaman, sukan ria dan kuiz diadakan bagi menyemarakkan lagi suasana hari ini dan pada hari kedua nanti.

Bauncer...antara salah satu tarikan yang terdapat di acara Sambutan Hari Keluarga Kiarong.
Bauncer…antara salah satu tarikan yang terdapat di acara Sambutan Hari Keluarga Kiarong.

pg10_150606_d

Beliau turut mengalu-alukan peminat sukan damak untuk turut serta dalam pertandingan yang akan dianjurkan MPK Kiarong di sebelah pagi Ahad nanti dan peraduan melukis dan mewarna bagi pelajar sekolah rendah.

Antara yang menarik pada hari Ahad ini adalah pertunjukan kereta-kereta antik yang pastinya akan mewarnai lagi suasana di majlis itu nanti, ujarnya lagi.

Aktiviti lain adalah senamrobik, pameran buku dan gambar lama, pameran tulisan khat, perlawanan bola jaring, perlawanan futsal, sukan ria keluarga dan penyampaian hadiah.

ARTIKEL YANG SAMA