Piercy catat 62 pukulan hari pertama

Piercy catat 62 pukulan hari pertama

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) – Pemain Amerika Syarikat, Scott Piercy muncul pendahulu dengan kelebihan tiga pukulan pada hari pertama kejohanan golf CIMB Classic di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), di sini Khamis.

Piercy, 36, menampilkan aksi cemerlang dengan mencatat 10 birdie untuk catatan keseluruhan 10 bawah par 62.

“Segalanya cukup baik, saya begitu tenang dan semuanya berjalan lancar,” kata Piercy yang sudah memenangi lima gelaran dalam sirkit profesional.

“Mulanya saya menghadapi masalah dengan putting saya. Jadi, saya memberi tumpuan untuk mendapatkan kelajuan yang tepat di atas green dan dengan bantuan kedi untuk memahami keadaan lapangan, saya terus mencuba melakukan pukulan yang baik,” katanya.

Beliau mengakui sering kecewa apabila gagal beraksi dengan baik dalam sesuatu kejohanan walaupun menduduki kelompok 25 terbaik dalam satu pertandingan, seminggu sebelum datang ke Malaysia.

Ketinggalan tiga pukulan adalah Hideki Matsuyama dari Jepun selepas mencatat tujuh bawah par 65.

Pemain berusia 23 tahun ini yang menjadi pemain pro pada 2013, mencatat empat birdie dengan satu bogey pada sembilan lubang pertama sebelum menambah empat lagi birdie di sembilan lubang kedua.

“Pukulan drive saya menjadi hari ini dan ia membantu saya melakukan catatan yang baik,” kata Matsuyama.

Ketika Piercy menguasai carta pendahulu, rakan senegaranya Scott Brown mencuri tumpuan apabila memenangi hadiah istimewa.

Pemain berusia 32 tahun itu membawa pulang sebuah kereta sports BMW i8 selepas melakukan pukulan selubang di lubang ke-15 par tiga.

“Saya sudah melakukan tiga pukulan selubang di Jelajah PGA sejak dua tahun kebelakangan ini. Melihat catatan saya hari ini, pastinya ia lebih baik untuk melakukan pukulan selubang dan memenangi sesuatu.

“Tiga pukulan selubang yang saya lakukan sebelum ini gagal mendapat sebarang hadiah. Jadi, saya cuba melakukannya kali ini…ia pasti hebat untuk memandu kereta itu di tempat tinggal saya di Carolina Selatan,” kata Brown.

Sementara itu, juara bertahan, Ryan Moore kini berkongsi tempat kelapan bersama tujuh pemain lain selepas mencatat lima bawah par 67.

ARTIKEL YANG SAMA