Pihak berkuasa terus kukuh aspek keselamatan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Kemalangan yang melibatkan pemandu perahu dan penumpang semasa berada di laut atau perairan boleh berlaku tidak kira tempat dan masa, namun ia boleh dicegah atau dikurangkan jika mengikuti langkah-langkah keselamatan yang patut dilakukan sebelum atau ketika tragedi berlaku.

Tambahan lagi, tragedi kemalangan perahu tambang di Kampong Ayer yang berlaku pada tahun lepas pastinya masih mengejutkan banyak pihak.

Menyedari hakikat itu, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) tidak pernah memandang ringan aspek keselamatan yang mesti diberi perhatian dalam setiap operasi perahu penumpang sama ada yang membawa penduduk di Kampong Ayer mahupun pengguna lain atau pelancong. Penumpang berhak mendapatkan jaminan keselamatan sama ada perahu yang akan mereka naiki itu selamat untuk berlayar ke destinasi yang hendak dituju.

Sehubungan dengan itu, PBMP telah mengadakan Operasi Pemeriksaan Perahu Tambang serta Pemberigaan lanjutan Kepentingan Pemakaian Jaket Keselamatan semasa menaiki perahu tambang, pagi tadi, bertempat di Sungai Brunei. Operasi itu juga disertai oleh Polis Kampong Ayer Pasukan Polis Diraja Brunei dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.

Operasi bertujuan untuk memastikan semua perahu tambang yang memberikan perkhidmatan pengangkutan air kepada orang ramai dipastikan berdaftar dan lulus pemeriksaan teknikal oleh PBMP.

Operasi Pemeriksaan Perahu Tambang yang dijalankan oleh PBMP di Sungai Brunei yang disertai Polis Kampong Ayer Pasukan Polis Diraja Brunei dan agensi-agensi penguat kuasa yang lain.

Selain daripada itu, memastikan pemandu-pemandu perahu tambang mematuhi syarat-syarat keselamatan yang ditetapkan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemakaian jaket keselamatan.

PBMP turut meminta kerjasama daripada ketua-ketua kampung untuk menyampaikan nasihat dan saranan daripada operasi ini dan kempen-kempen kepada anak-anak buah kampung masing-masing mengenai kepentingan memakai jaket keselamatan semasa menaiki pengangkutan air, tanpa mengira perjalanan jauh atau dekat. Langkah-langkah keselamatan penting ketika berada dalam bot adalah seperti menggunakan jaket keselamatan dan mematuhi had penumpang kerana ia adalah prosedur standard sebagaimana kita wajib memakai tali pinggang keledar ketika menaiki kenderaan atau pesawat.

Pemilik perahu juga diwajibkan mendapatkan perlindungan insurans untuk penumpang bagi mendapatkan lesen atau permit serta perlu mematuhi had muatan yang ditetapkan untuk sebuah perahu. Setiap permit atau lesen operasi adalah terhad untuk operasi di perairan yang dibenarkan sahaja, serta perlu melalui proses pemeriksaan PBMP sama ada perahu terbabit selamat untuk beroperasi atau tidak, serta lengkap dengan kemudahan keselamatan.

Pemilik dan pemandu perahu hendaklah sentiasa memastikan nombor pendaftaran perahu diletakkan di tempat yang telah ditetapkan dalam keadaan baik dan jelas. Mengikut peraturan PBMP, pemandu perahu juga perlu lulus kursus Sijil Memandu Kelas 9 (terhad) untuk mendapatkan lesen.

Dalam pada itu, PBMP akan memulakan kursus terhadap pemandu-pemandu di kawasan ibu negara pada 12 Mac 2018 sebelah malam. Dipohonkan pemandu yang telah mendaftar untuk menghadirkan diri.

Operasi seperti ini dijalankan secara berterusan dan diadakan di kawasan perairan-perairan dan di jeti-jeti dalam usaha berterusan bagi mencapai tujuan kempen.

PBMP akan menyediakan tempat pendaftaran perahu, pemeriksaan dan penjualan alat-alat keselamatan di Kawasan Pos PBMP berdekatan Jeti Penurunan Penumpang Bandar Seri Begawan-Temburong Jalan Residency bagi memudahkan pemandu perahu dan orang ramai untuk mendaftar perahu dan mendapatkan alat-alat keselamatan berkenaan dan pada masa ini juga terdapat syarikat-syarikat yang menyediakan khidmat penyewaan jaket keselamatan.

PBMP akan lebih kerap membuat pemantauan ke atas perahu-perahu tambang untuk memastikan pemandu-pemandu perahu tambang mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan.

Kegagalan untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan, pemandu boleh dikenakan denda tidak melebihi $2,000 atau kompaun tidak melebihi $500.