Pihak polis siasat kejadian pecah rumah

Pihak polis siasat kejadian pecah rumah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 13 Sept – Pihak polis sedang menyiasat kejadian pecah rumah yang berlaku Isnin lalu di kawasan berhampiran Pekan Seria yang melibatkan kehilangan beberapa barangan elektrik termasuk komputer riba, alat permainan Playstation dan set televisyen.

Mangsa kejadian tersebut memberitahu ketika ia berlaku, beliau tidak berada di rumahnya yang terletak di Jalan Nakhoda Manis selama dua hari, dan amat terkejut setelah mendapat tahu kejadian terbabit melalui adiknya yang menghubunginya lewat petang itu.

“Adik saya menghubungi saya pada kira-kira jam 7 malam, semasa dia pulang ke rumah dan mendapati pintu rumah dalam keadaan terbuka,” kata mangsa yang enggan namanya didedahkan.

Ekoran kejadian itu, mangsa telah menyebarkan pesanan menggunakan media sosial WhatsApp untuk mendapatkan bantuan orang ramai bagi menghubunginya jika melihat, terjumpa atau memiliki komputer riba jenama Dell, Ipad dan televisyen 32 inci serta set Playstation 2, yang dijual sebagai barangan terpakai.

Mangsa juga memberitahu kejadian itu kali pertama berlaku di kediamannya, dan dalam masa yang sama beliau turut melahirkan kebimbangannya yang melihat kawasan berkenaan sudah semakin tidak selamat.

Berikutan kejadian itu, jiran-jiran mangsa turut mengongsikannya dalam laman sosial sambil mengingatkan supaya penduduk di kawasan berdekatan agar sentiasa berhati-hati.

ARTIKEL YANG SAMA