Pihak sekolah terus prihatin

Pihak sekolah terus prihatin

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-sekolah akan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan terutama bagi keluarga dan murid atau pelajar yang ditimpa musibah serta mereka yang mempunyai kesukaran dalam menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Jabatan Sekolah-sekolah mengambil berat mengenai kehadiran pelajar ke sekolah dan jika ibu bapa mempunyai masalah mengenai penghantaran anak-anak mereka ke sekolah, mereka dialu-alukan untuk menyatakan masalah mereka kepada pihak sekolah atau pihak jabatan dan pihak jabatan akan berusaha untuk membantu menangani atau menyelesaikan masalah mereka.

Perkara itu dinyatakan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Azis bin Haji Nayan semasa Majlis Penyampaian Derma kepada Pelajar-pelajar Mangsa Kebakaran di Kampung Tungku dan kepada keluarga Allahyarham Awang Abdul Aziz bin Awang Abas di Sekolah Rendah Tungku, Kluster 1, hari ini.

Beliau menyatakan lagi bahawa kehadiran para pelajar dan murid ke sekolah adalah amat penting dan percaya bahawa bagi pelajar atau murid untuk meraih kejayaan serta dapat membantu keluarga pada masa akan datang, pendidikan mereka harus diberikan keutamaan.

Menyentuh mengenai dengan bantuan itu, beliau berkata bahawa ia merupakan usaha berterusan untuk meringankan dan terus prihatin terhadap bebanan para mangsa dan juga keluarga warga kementerian yang ditimpa musibah.

Haji Azis menyampaikan derma kepada Ahmad Nur’Idham.
Haji Azis menyampaikan derma kepada Ahmad Nur’Idham.
Haji Azis bergambar ramai bersama para penerima derma, pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah dan keluarga para penerima.
Haji Azis bergambar ramai bersama para penerima derma, pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah dan keluarga para penerima.

Sumbangan derma berupa wang tunai itu merupakan hasil kutipan derma daripada pegawai-pegawai dan kakitangan di Jabatan Sekolah-Sekolah dan juga dari sekolah-sekolah di bawah kluster 1.

Sumbangan itu dihulurkan kepada dua orang murid yang menjadi mangsa kebakaran rumah mereka di Kampung Tungku pada 10 Februari lalu dan kepada keluarga Allahyarham Awang Abdul Aziz yang telah kembali ke rahmatullah pada 14 Mac 2016 lalu dan pernah bertugas sebagai Pegawai Pendidikan di Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri.

Sumbangan adalah sebagai tanda prihatin dan simpati terhadap para pelajar yang ditimpa oleh musibah berkenaan.

Di majlis berkenaan, Haji Azis menyampaikan sumbangan derma berjumlah $477 kepada isteri Allahyarham, Dayang Siti Norhayati binti Haji Anapi dan derma berjumlah $477 kepada anak Allahyarham, Dayang Siti Nuraliah Izzati binti Abdul Aziz.

Sementara itu, mangsa kebakaran iaitu dua orang murid Sekolah Rendah Tungku, Ahmad Nur’Idham bin Ahmad Juzlan, pelajar Tahun 4 dan Ahmad Nur’Danish bin Ahmad Juzlan, pelajar Tahun 2 pula menerima derma berjumlah $1,125 setiap seorang yang juga disampaikan oleh Haji Azis.

Para penerima sumbangan menyatakan kepada Media Permata bahawa mereka amat bersyukur bagi derma yang dihulurkan kerana ia sememangnya dapat membantu dalam meringankan bebanan mereka dan sumbangan itu akan digunakan bagi membuat persiapan dan membeli peralatan-peralatan keperluan sekolah bagi anak-anak mereka.

ARTIKEL YANG SAMA