Pihak terbabit Kajian Seismik BSP dirai

Pihak terbabit Kajian Seismik BSP dirai

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 28 Okt – Projek Kajian Seismik Rasau 3D merangkumi kawasan bandar dan persekitaran Kuala Belait seluas lebih kurang 244km persegi dari kampung Sungai Teraban, Rasau, Kuala Belait dan kawasan darat serta luar pantai berhampiran yang bermula dari Oktober tahun lalu sehingga April tahun ini, berakhir secara rasminya hari ini.

Sehubungan itu, semua pihak berkepentingan terlibat dalam projek itu, Syarikat Brunei Shell Petroleum (BSP) diraikan dan diberikan penghargaan pada majlis yang berlangsung di Dewan Besar Cenderawasih, Kelab Rekreasi Brunei Shell, Seria hari ini.

Agensi dan syarikat yang diberikan penghargaan termasuklah individu-individu dan agensi-agensi keselamatan, Jabatan Daerah Belait, Syarikat Geokinetics International Incorporated yang telah menjalankan projek kajian itu bagi pihak BSP, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan majlis perundingan mukim dan kampung serta Britisih Army Brunei Garison.

Individu, agensi dan syarikat-syarikat ini telah bertungkus-lumus membantu melancarkan dan menjamin keselamatan projek tersebut, menurut Pengarah Komersial BSP, Haji Azhar bin Haji Yahya ketika ditemu bual wartawan Media Permata.

Menurutnya lagi, projek kajian darat terbesar dalam masa 20 tahun ini dikategorikan sebagai projek contoh kerana perancangan dan pengendaliannya yang teratur, telah diiktiraf oleh Shell Antarabangsa sebagai rujukan terbaik untuk projek-projek seismik Shell akan datang.

Gambar ramai bersama di majlis penutup rasmi Projek Kajian Seismik Rasau 3D di BSRC.
Gambar ramai bersama di majlis penutup rasmi Projek Kajian Seismik Rasau 3D di BSRC.
Yang Berhormat Haji Mohd Yusof, Haji Azhar dan ACP Haji Mohd Don melawat petak pameran Projek Kajian Seismik Rasau 3D.
Yang Berhormat Haji Mohd Yusof, Haji Azhar dan ACP Haji Mohd Don melawat petak pameran Projek Kajian Seismik Rasau 3D.

Hampir 1,000 tenaga kerja melaksanakan projek itu dan mencapai 2.5 juta jam bebas daripada sebarang kecederaan atau LTI (Loss Time Injury), katanya, menambah objektif utama projek adalah untuk menilai potensi eksplorasi dan kedudukan sebenar rizab minyak dan gas di kawasan Rasau dan persekitarannya.

Selepas kajian lanjut data seismik ini, kerja-kerja selanjutnya adalah untuk penilaian data dan potensi eksplorasi dan kedudukan sebenar rizab minyak dan gas di kawasan Rasau dan persekitarannya akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Insya Allah jika ia berjaya dan berhasil, kerja-kerja penggerudian pertama berdasarkan kajian seismik ini, dirancang dilaksanakan seawal tahun 2017,” katanya.

Beliau turut mengongsikan cabaran-cabaran yang dihadapi BSP untuk membuat kajian seismik itu di beberapa kawasan, pengambilan data seismik pada waktu malam, musim kemarau pada awal Mac dan April yang telah menjejaskan kawasan liputan kajian dan aspek-aspek keselamatan dalam pengurusan bagi kelancaran logistik yang cekap.

Semasa majlis penutupan dan penghargaan, satu kertas kerja dibentangkan melalui pertunjukan slaid oleh Ketua Projek Rasau 3D, Awang Boh Poh Yuk, sambil disaksikan oleh jemputan khas termasuklah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin yang juga ialah Ketua Kampung Mumong, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei ACP Haji Mohd Don bin Haji Haris dan Pemangku Pegawai Pemerintah Polis Daerah Belait, Supt Ariffin bin Haji Jafaruddin dan seterusnya melawat petak pameran Projek Kajian Seismik Rasau 3D.