PIKOM cadang bentuk pasukan petugas ASEAN digital

PIKOM cadang bentuk pasukan petugas ASEAN digital

PETALING JAYA, 11 Sept (Bernama) – Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (PIKOM) akan mencadangkan pembentukan Pasukan Petugas ASEAN Digital untuk menangani isu dasar di rantau ini.

Pengerusi Cheah Kok Hoong berkata PIKOM akan membentangkan cadangan tersebut kepada Pertubuhan Industri Pengkomputeran Asia-Oceania (ASOCIO) pada sidang kemuncak serantau yang akan datang, Sidang Kemuncak Kepimpinan ICT Asocio Pikom 2015 pada 6-7 Oktober.

ASOCIO merupakan kumpulan persatuan industri teknologi maklumat mewakili 10,000 syarikat di 24 negara di Asia dan Oceania.

“Pasukan petugas itu penting berikutan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) akan terus menjadi pemacu utama dalam semua aspek Komuniti Ekonomi ASEAN,” katanya pada taklimat media mengenai sidang kemuncak itu di sini, hari ini.

Ia akan menjadi platform untuk mendapatkan input daripada negara anggota dan merangka kertas penyelidikan untuk dikemukakan kepada Perbadanan Internet bagi Peruntukan Nama dan

Angka (ICANN) dan ASEAN berhubung inisiatif dasar untuk merangsang pertumbuhan rantau dan sektor itu.

“Jurang digital dan sosioekonomi antara negara anggota ASEAN dalam bidang utama seperti penembusan jalur lebar, infrastruktur ICT, pendapatan boleh guna dan kecanggihan pasaran merupakan bidang yang baik untuk mula mencari peluang.