Pikul tanggungjawab bersama

Pikul tanggungjawab bersama

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Jabatan Daerah Tutong

 

TUTONG, 8 Jan – Dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan mukim dan kampung, para penduduk digesa memainkan peranan memikul tanggungjawab bersama pihak penguatkuasaan termasuk Pasukan Polis Diraja Brunei.

Oleh itu, sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran dalam usaha mencegah dan membanteras kegiatan jenayah di kawasan pedalaman termasuk kesalahan-kesalahan seperti penebangan haram kayu gaharu, pemburuan haram binatang yang dilindungi dan kesalahan di bawah Akta Perjudian, Daerah Polis Tutong dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim Rambai, Tutong, telah mengadakan Jerayawara Pencegahan Jenayah Bagi Mukim Rambai di Balai Raya Benutan, Tutong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam. Turut hadir ialah Penghulu Mukim Rambai, Awang Khairul Nurul Arsyad bin Haji Abdul Malek, ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung-kampung di Mukim Rambai, para pegawai dan anggota Polis Diraja Brunei, pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Tutong serta penduduk Mukim Rambai.

Jerayawara yang julung-julung kalinya diadakan itu dihasratkan untuk memberikan pengetahuan dan kesedaran awam terutama kepada penduduk kawasan pedalaman Mukim Rambai mengenai kesalahan berkaitan dengan penebangan haram kayu gaharu serta pemburuan haram binatang yang dilindungi.

Jerayawara itu juga mengetengahkan barisan panel penceramah jemputan yang menyampaikan taklimat kesedaran dari agensi-agensi penguatkuasaan yang terdiri daripada Jabatan Perhutanan dan Bahagian Hidupan Liar, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Unit Penumpasan Judi dan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Simpanan C Kompeni, Polis Diraja Brunei.

Haji Adnan bergambar ramai selepas sesi taklimat semasa jerayawara berkenaan.
Haji Adnan bergambar ramai selepas sesi taklimat semasa jerayawara berkenaan.
Sesi taklimat oleh panel penceramah dari pelbagai agensi penguatkuasaan semasa jerayawara berkenaan.
Sesi taklimat oleh panel penceramah dari pelbagai agensi penguatkuasaan semasa jerayawara berkenaan.

Para panel telah membentangkan mengenai operasi yang telah dilaksanakan di kawasan Mukim Rambai, tindakan perundangan bagi kesalahan yang berkaitan dengan jenayah, Akta Perhutanan, Hidupan Liar, perjudian serta pelacuran.

Panel penceramah terdiri daripada Pegawai Pemerintah Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, DSP Suhaini bin Haji Sukri, Ketua Unit Permit dan Lesen, Jabatan Perhutanan, Awang Reni bin Haji Yahya, Ketua Bahagian Hidupan Liar, Bahagian Hidupan Liar, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Haji Muhammad Faisal bin Haji Nordin, Ketua Unit Penumpasan Judi dan Maksiat, Unit Penumpasan Judi dan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, DSP Haji Azree bin Haji Abdul Manaf dan Penolong Penguasa Polis, P/ASP Dayangku Norazriani binti Pengiran Anuar.

Daerah Polis Tutong selaku pengelola jerayawara menyatakan harapan, dengan adanya taklimat seperti ini akan dapat memberikan pengetahuan dan kesedaran kepada penduduk Mukim Rambai mengenai isu-isu berkaitan dengan pembanterasan jenayah serta kesalahan-kesalahan di bawah akta dan peraturan agensi-agensi penguatkuasaan yang berkenaan.

Jerayawara dan pameran mini seperti ini akan memberikan peluang kepada penduduk kampung untuk berinteraksi lebih dekat lagi dengan para pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei serta para pegawai dari Jabatan Perhutanan dan Bahagian Hidupan Liar.

Selain sesi taklimat dan pameran, para penduduk juga mengikuti sesi kuiz yang dikendalikan oleh Bahagian Hidupan Liar bagi menguji sejauh mana kefahaman dan penerimaan para penduduk di Mukim Rambai mengenai taklimat serta penerangan yang disampaikan.

Pihak Daerah Polis Tutong juga menekankan bahawa pembanterasan jenayah bukan hanya terletak pada Pasukan Polis Diraja Brunei dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain tetapi usaha itu harus dipikul bersama oleh semua bagi memastikan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan masyarakat.

ARTIKEL YANG SAMA