Pil ecstacy dikirim guna pos laju

Pil ecstacy dikirim guna pos laju

LAHAD DATU, 10 Ogos – Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas 9,946 biji pil ecstacy yang dikirimkan ke daerah ini menggunakan pos laju dan menahan tiga orang pada Rabu lepas.

Timbalan Pengarah KDRM Sabah, Yunos Tahir berkata hasil pemerhatian di Pejabat Pos Lahad Datu telah memeriksa satu kotak yang dikirim dari Segamat, Johor dan diikrarkan sebagai ‘Lemonet.’

Katanya, hasil pemeriksaan kotak itu mengandungi 10 kotak kecil berjenama Lemonate Lazior yang terdapat lapisan aluminium foil digunakan untuk membalut plastik lut sinar yang di dalamnya mengandungi pil hijau disyaki ecstacy.

Terdapat dua jenis pil ecstacy berjumlah 9,946 biji iaitu 3,972 biji pil Heineken dan 5,974 biji pil Dom Perignon seberat empat kilogram dianggar bernilai RM440,000, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya ekoran rampasan itu, kastam telah menyerbu sebuah rumah yang beralamat di Taman Muhibah dekat sini seperti tertera pada ruang penerima bungkusan.

Katanya dua lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 40 tahun ditahan dan ditahan reman bagi membantu siasatan. Polis turut menyita beberapa peralatan disyaki digunakan untuk penagihan dan pengedaran dadah di daerah ini. – Bernama