Pilih hala tuju potensi kerjaya

Pilih hala tuju potensi kerjaya

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Dalam usaha untuk membimbing pilihan kerjaya yang sesuai dengan minat dan kelayakan pelajar, Unit Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan hari ini menganjurkan majlis ceramah bertajuk ‘Program Hala tuju Selepas BGCE ‘O’ Level bagi 2016’, yang diadakan di Sekolah Menengah Berakas (SMB).

Seramai 239 orang pelajar mengikuti program sehari yang dianjurkan dengan kerjasama SMB dan Sekolah Sukan, dengan seramai 61 orang pelajar, termasuk 58 orang pelajar SMB dan tiga lagi dari Sekolah Sukan mengikuti program bagi aliran sains yang diadakan di Bilik Persidangan Satu sekolah itu.

Manakala itu, seramai 178 pelajar, iaitu 150 pelajar SMB dan 28 pelajar dari Sekolah Sukan mengikuti program bagi aliran sastera bertempat di Dewan Anggerek, sementara pameran kerjaya yang disertai beberapa agensi kerajaan dan institut pengajian tinggi tempatan diadakan di Dewan Delima.

Pemangku Pengetua SMB, Awang Abdullah bin Ismail berkata, berbeza dengan tahun sebelumnya yang melibatkan penganjuran dengan beberapa buah sekolah lain, pada kali ini SMB bergabung dengan hanya Sekolah Sukan bagi mengadakan program kerjaya itu.

Beberapa pelajar menerima penerangan daripada salah sebuah agensi yang menyertai program tersebut.
Beberapa pelajar menerima penerangan daripada salah sebuah agensi yang menyertai program tersebut.

“Ini kerana, tidak seperti sekolah konvensional lain yang mungkin mempunyai program kerjayanya sendiri, kerjasama dengan Sekolah Sukan adalah kerana sistem kurikulumnya yang agak berlainan dan ini memungkinkan kami menggabungkan para pelajar kedua-dua buah sekolah ini untuk mendapat manfaat dan pengetahuan daripada program tersebut,” katanya ketika ditanya pemberita.

Menurutnya lagi, bagi ceramah dan pameran kerjaya kali ini, pihak penganjur telah mengundang beberapa agensi termasuk Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, LiveWire, Institut Pendidikan Teknikal Brunei, Institut Akauntan Awam Bertauliah Negara Brunei Darussalam (BICPA), Kemuda, Kolej IGS dan Politeknik Brunei.

Ujarnya, hadir pada program kerjaya itu ialah dua pegawai Unit Kaunseling dari Jabatan Sekolah-sekolah, iaitu Hajah Roslin binti PDIS DSLJ Haji Johari dan Dayang Siti Hajar binti Haji Khamis.

Ketika ditemu bual, Guru Kerjaya SMB, Hajah Noorsida binti Haji Ismail menjelaskan, program kerjaya seperti itu merupakan kali keempat dianjurkan di sekolah berkenaan dan kali pertama menggabungkan pameran kerjaya.

Jelasnya, para pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan kerana para pelajar aliran sains mengikuti ceramah daripada agensi seperti dari Politeknik Brunei, Akademi Maritim Brunei dan penceramah bidang profesional seperti kedoktoran, peguam dan kejuruteraan.

Manakala itu, kumpulan kedua yang merangkumi aliran sastera, termasuk bidang vokasional dan teknikal mengikuti ceramah dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Ceramah kerjaya itu merupakan aktiviti tahunan Unit Kerjaya Sekolah Menengah Berakas.

ARTIKEL YANG SAMA