Pilih hari bersejarah lafaz syahadah

Pilih hari bersejarah lafaz syahadah

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Dis – Pada hari penuh bermakna buat umat Islam ini, lima orang penduduk tempatan berbangsa Dusun telah melafazkan dua kalimah syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh.

Hadir menyaksikan hari penuh bersejarah buat lima saudara baru berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Dengan pengislaman berkenaan, Awang Harliff Nabillah bin Sayong kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Awang Muhammad Alif bin Sayong, Awang Jay Wendel bin Punchak sebagai Awang Muhammad Nuriman Yazid bin Abdullah Punchak dan Awang Mas Shukri bin Punchak memilih nama Islamnya sebagai Awang Muhammad Nur Zaqwan Shukri bin Abdullah Punchak.

Manakala itu, Dayang Maslin binti Punchak dan Dayang Sownahty binti Punchak masing-masing memilih nama Islam mereka sebagai Dayang Nur Liyana Dafinah binti Abdullah Punchak dan Dayang Nur Sumaiyah Sownahty binti Abdullah Punchak.

Upacara pengislaman mereka telah dikendalikan oleh pegawai-pegawai dari Unit Pengislaman, Bahagian Pengembangan Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah. Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian cenderahati yang disempurnakan oleh tetamu kehormat diikuti dengan menabur bunga rampai.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan cenderahati kepada saudara baru.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan cenderahati kepada saudara baru.

pg03_151225_c

Lima orang saudara baru melafazkan dua kalimah syahadah.
Lima orang saudara baru melafazkan dua kalimah syahadah.

Salah seorang saudara baru berkenaan, Awang Muhammad Alif memberitahu beliau memilih Islam sebagai agama barunya setelah mendapat pendedahan daripada pergaulan rakan dan telah memahami sedikit sebanyak mengenai Islam sejak zaman persekolahan lagi.

Menurutnya lagi, sudah lama beliau ingin memeluk agama Islam tetapi menunggu masa yang tepat.

“Alhamdulillah, saya memeluk agama Islam ini juga didorong oleh ahli keluarga saya dan juga dibimbing oleh guru-guru agama yang membantu memahami lebih mendalam,” tambahnya.

Manakala itu, Dayang Nur Sumaiyah Sownahty pula mengongsikan bahawa keinginannya untuk memeluk agama Islam telah ada sejak tahun 2011, apabila beliau mula terbuka hati kepada Islam menerusi pergaulan orang ramai dan persekitaran yang beliau saksikan selama ini.

Sejak penubuhan Pusat Dakwah Islamiah pada tahun 1985, jumlah saudara baru telah menunjukkan peningkatan dari setahun ke setahun, yang mana setakat 2014, seramai 14,451 orang telah dicatatkan memeluk Islam di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, seramai 3,841 orang adalah daripada puak Dusun.

Manakala itu, dari Januari hingga November 2015 seramai 460 orang telah dicatatkan memeluk agama Islam di seluruh negara.

ARTIKEL YANG SAMA