Pilih Islam sebagai pegangan hidup

Pilih Islam sebagai pegangan hidup

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 18 Nov – Seorang wanita bangsa Iban dan seorang wanita bangsa Inggeris warganegara British telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidup selepas melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di Dewan Unit Dakwah, Daerah Belait, di sini.

Flora Anak Nisau, 27, telah memilih nama Islamnya sebagai Dayang Ain Syamsidatul Syuhada binti Abdullah Nisau, sementara Danielle Theresa May McNamara, 24, yang berasal dari United Kingdom itu kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Dayang Nur Dania binti Abdullah McNamara.

Hadir pada majlis pengislaman tersebut ialah Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Haji Roslan bin Haji Ratu, dan Penolong Ketua Unit Dakwah Belait, Hajah Salimah binti Haji Hassan.

Dayang Nur Dania dalam temu bual bersama Media Permata menyatakan, sebelum memeluk agama Islam lagi, beliau telah banyak mempelajari mengenai agama Islam daripada pembacaan buku tentang Islam, di samping menurutnya beliau juga mempunyai ramai kawan-kawan di United Kingdom terdiri daripada mereka yang berugama Islam.

Dayang Ain Syamsidatul Syuhada (atas) dan Dayang Nur Dania (bawah) ketika melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis tersebut.
Dayang Ain Syamsidatul Syuhada (atas) dan Dayang Nur Dania (bawah) ketika melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis tersebut.

Beliau yang bertugas sebagai jururawat di sebuah Pusat Warga Emas di Scotland, United Kingdom, akhirnya memeluk Islam, apabila beliau menemui bakal pasangan hidupnya yang berasal dari negara ini, Awang Sufri bin Ramli, 27, yang pada masa ini juga bekerja di Scotland.

Sepanjang bulan Januari hingga penghujung bulan Oktober ini, Unit Dakwah Daerah Belait telah mencatatkan jumlah saudara baru seramai 93 orang, manakala pada tahun lalu sejumlah 95 orang.

Jumlah tertinggi yang memeluk agama Islam tahun ini ialah terdiri daripada bangsa Iban iaitu seramai 32 orang, manakala Dusun seramai 29 orang dan selebihnya adalah dari kalangan Murut, 15 orang Cina, 10 orang Filipina dan lain-lain seramai enam orang.

ARTIKEL YANG SAMA