Pilih Islam sebagai pegangan hidup

Pilih Islam sebagai pegangan hidup

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Seorang penduduk tetap berbangsa Iban, hari ini, telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah sebagai pengakuannya memilih agama Islam sebagai pegangan hidup.

Majlis pengislaman tersebut berlangsung di rumah Haji Julaiadi bin Haji Baha di Kampung Jerudong.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pengurus Penyelenggaraan Jerudong Park & Country Club (JPCC), Haji Mohd Saufi bin Haji Julaihi.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lafaz ikrar oleh Awang Jackson Anak Balan yang memilih nama Islamnya sebagai Muhd Farhan bin Abdullah dengan disaksikan oleh Haji Ibrahim bin Haji Budin. Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban oleh para tetamu, diikuti dengan taburan bunga rampai.

Muhd Farhan ketika mengucapkan syahadah di majlis berkenaan.
Muhd Farhan ketika mengucapkan syahadah di majlis berkenaan.

Awang Muhd Farhan, 32, yang bertugas sebagai juruteknik di JPCC berasal dari Sarawak, Malaysia dan kini telah menetap di negara ini sejak tahun 2003 sebagai penduduk tetap.

Dalam temu bual bersama wartawan Media Permata, beliau menyatakan bahawa keluarganya tidak ada halangan untuk beliau memeluk Agama Islam.

“Insya Allah, adik saya yang perempuan juga akan ikut memeluk Islam. Insya Allah pada tahun depan,” tambah Awang Muhd Farhan lagi.

ARTIKEL YANG SAMA