Pilih Islam sebagai pelengkap hidup

Pilih Islam sebagai pelengkap hidup

Oleh Syazwani Haji Rosli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Dis – Dua wanita Filipina telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidup mereka yang baru dan melafazkan dua kalimah syahadah pada majlis yang berlangsung di kediaman Haji Tarif bin Haji Ja’afar di Kampung Kiulap.

Hadir menyaksikan majlis pengislaman berkenaan selaku tetamu kehormat ialah Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Pehin Khatib Abdullah dan isteri.

Pengislaman Cherriel May Orqueza Slazar, 31, yang memilih nama Islamnya sebagai Nur Amira Orqueza Salazar binti Abdullah dan Rothelyn Salac Meraveles, 19, kini dikenali sebagai Siti Nurliyana binti Abdullah telah dikendalikan di hadapan pegawai pengislaman dari Unit Pengislaman, Pusat Dakwah Islamiah.

Majlis diserikan dengan Dikir Marhaban dan menabur bunga rampai oleh ahli keluarga tuan rumah dan para jemputan.

Nur Amira ketika ditemui memberitahu bahawa pengalaman tinggal di Brunei buat tempoh yang lama telah mencetuskan sesuatu dalam dirinya sehingga menariknya untuk mendalami agama Islam.

Dayang Siti Nurliyana ketika melafazkan Dua Kalimah Syahadah.
Dayang Siti Nurliyana ketika melafazkan Dua Kalimah Syahadah.
Dayang Nur Amira Orqueza Salazar ketika melafazkan dua kalimah syahadah.
Dayang Nur Amira Orqueza Salazar ketika melafazkan dua kalimah syahadah.

“Saya memeluk Islam atas niat saya sendiri; ia adalah peribadi, perlahan-perlahan dan difikirkan dengan mendalam. Saya pilih Islam untuk diri saya. Ia adalah fahaman yang telah saya cari sepanjang hidup saya. Saya telah jatuh cinta kepada Islam dan saya sedia untuk mempelajari dan memeluknya setulus hati saya,” ujarnya.

Sementara itu, Dayang Siti Nurliyana pula berkata, dia tertarik dengan Islam sejak kecil lagi semasa berada di Filipina, datuknya yang merupakan seorang Muslim, kerap membawanya ke masjid.

Bagaimanapun, katanya, memeluk Islam di Filipina tidak mudah dan sebab itulah beliau menangguhkan niat sucinya itu.

Kini menetap di Brunei dan bekerja sebagai pelayan di Farmbasket Cawangan Kiulap, Dayang Siti Nurliyana berkata semuanya berjalan lancar seperti yang diharapkannya.

“Saya mempunyai rakan-rakan sekerja Muslim di tempat kerja dan beberapa rakan Muslim di luar kerja. Mereka banyak mengajar saya mengenai Islam. Saya belajar dan melihat apa yang mereka lakukan. Setiap kali mereka berpuasa di bulan Ramadan, saya menyertai mereka. Saya berbesar hati dan berterima kasih kepada mereka kerana membantu saya dalam peralihan ini,” tambahnya.

“Keluarga saya di Filipina gembira untuk saya dan saya gembira dengan keputusan saya. Hari ini, Alhamdulillah, saya berbangga mengisytiharkan dan memberitahu semua orang bahawa saya kini seorang Muslim,” katanya.

Setakat November 2015, seramai 223 saudara baru telah dicatatkan di seluruh negara.

ARTIKEL YANG SAMA