Pilihan Malaysia ikat Liverpool

Pilihan Malaysia ikat Liverpool

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) – Skuad Pilihan Malaysia, yang dibantu lima pemain asing, memperagakan aksi menarik untuk mengikat pasukan tersohor Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool 1-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, kelmarin.

Skuad bimbingan Dollah Salleh tidak mengecewakan hampir 50,000 penonton apabila mengejutkan Liverpool dengan membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 menerusi penyerang import PKNS FC, Patrick Ronaldinho Wleh.

Wleh menyempurnakan gol pendahulu apabila mengecewakan penjaga gol simpanan Liverpool, Adam Bogdan.

Tersentak dengan jaringan itu, Liverpool memperkemaskan semula taktik dengan melakukan serangan bertali arus sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi rembatan deras pemain sayap berusia 19 tahun, Jordan Ibe.

Bagaimanapun, kedudukan tidak berubah selepas itu sehingga tamat separuh masa.

Reaksi peminat Liverpool Malaysia selepas perlawanan pasukan pujaan mereka menentang Pilihan Malaysia di Stadium Bukit Jalil selesai kelmarin. - AFP
Reaksi peminat Liverpool Malaysia selepas perlawanan pasukan pujaan mereka menentang Pilihan Malaysia di Stadium Bukit Jalil selesai kelmarin. – AFP

Selepas babak kedua bermula, Liverpool meneruskan momentum dengan melancarkan serangan bahaya terhadap pintu gol pasukan tuan rumah dengan menyaksikan penjaga gol negara, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid terpaksa bekerja keras untuk menyelamatkan beberapa percubaan.

Biarpun Liverpool menguasai perlawanan namun skuad Pilihan Malaysia tidak berputus asa untuk mencari gol kemenangan dan peluang itu bagaimanapun tidak disempurnakan oleh percubaan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit-minit akhir perlawanan.

Kali terakhir, pasukan The Reds menentang skuad kebangsaan adalah pada 2011 yang menyaksikan mereka mengalahkan pilihan Malaysia 6-3.

Liverpool memulakan jelajah pramusim ini dengan mengalahkan pasukan All Stars dari Thailand 4-0 di Bangkok pada 14 Julai lepas sebelum mengalahkan dua pasukan Liga Australia, Brisbane Roard 2-1, Jumaat lepas dan Adelaide United 2-0, Isnin lepas.

Pasukan pelawat itu akan melengkapkan jelajah pramusim dengan menentang pasukan Finland, HJK Helsinki pada 1 Ogos ini di Stadium Sonera di Helsinki.

ARTIKEL YANG SAMA