Pilihan pelancong Islam

Pilihan pelancong Islam

Oleh Azlan Othman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jun – Trend umat Islam melancong dalam bulan Ramadan semakin meningkat, menyaksikan negara-negara Islam di Asia Tenggara menjadi persinggahan kegemaran mereka untuk meluangkan masa pada bulan mulia ini.

Negara Brunei Darussalam merupakan salah sebuah daripada lima negara teratas dalam senarai negara yang dilawati pelancong-pelancong Muslim ini bagi tahun ini dan tahun hadapan, menurut laporan penyelidikan yang dikeluarkan baru-baru ini oleh Mastercard dan CrescentRating.

Berdasarkan laporan julung-julung kali oleh Mastercard-CrescentRating Ramadan Travel Report 2016, tempat lima teratas bagi destinasi Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand bagaimanapun dijangka merosot dalam tahun-tahun akan datang.

Trend pelancongan bulan Ramadan ini dijangka beralih ke destinasi negara-negara Teluk yang bakal menjadi tarikan utama menjelang 2023, menurut laporan itu.

Indeks Pelancongan Muslim Global Mastercard-CrescentRating (GMTI) 2016, mencatatkan sebanyak 117 juta umat Islam melancong di seluruh dunia dalam 2015, mewakili 10 peratus daripada keseluruhan pasaran pelancongan. Ini diramalkan meningkat kepada168 juta orang pelancong menjelang 2020, bersamaan dengan 11 peratus segmen pasaran, dengan industri pelancongan itu dijangka menjana pendapatan melebihi $200 bilion.

Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah yang sering menjadi tumpuan pelancong ke negara ini.
Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah yang sering menjadi tumpuan pelancong ke negara ini.

Laporan Perjalanan Ramadan 2016 juga mengatakan Negara Brunei Darussalam akan jatuh ke kedudukan ke-8 dalam 2018 dan 2019, dan akan terus merosot kedudukannya dari tahun 2020 dan seterusnya.

Dalam 2030, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang dijangka mengekalkan kedudukan antara lima buah destinasi teratas. Selain itu, Thailand dijangka terkeluar daripada kedudukan 20 teratas seawal tahun 2021.

Bagi menghindari badai ekonomi, laporan itu menasihatkan negara-negara Asia Tenggara untuk memperkenalkan perkhidmatan dan produk mesra umat Islam, yang memenuhi keperluan pelancongan Islam dalam bulan Ramadan.

Sejumlah 50 destinasi di seluruh dunia dianalisis dalam kajian itu dan menanda aras tiga kriteria utama: suhu purata harian, tempoh berpuasa dan skor Indeks Pelancongan Islam Global dalam masa 15 tahun akan datang sehingga 2030.

Ini merupakan laporan pertama seumpamanya yang memberikan destinasi dan perniagaan dalam industri pelancongan, pandangan berfaedah untuk membangunkan strategi jangka sederhana dan panjang bagi menarik pelancong Islam semasa Ramadan, dan pada tahun-tahun akan datang.

Semenjak Mac 2015, kerjasama MasterCard-CrescentRating menyaksikan penerbitan sejumlah laporan mengenai pasaran pelancongan umat Islam.

Laporan-laporan ini menjadi sumber utama bagi destinasi dan perniagaan untuk membangunkan strategi bagi menarik dan memenuhi keperluan segmen pelancongan umat Islam yang semakin meningkat.

GMTI kini merupakan penanda aras mengenai prestasi negara-negara destinasi dalam menarik segmen pasaran umat Islam.

Menurut GMTI 2016, Malaysia mengetuai lima tempat teratas bagi pelancong Islam, diikuti UAE, Turki, Indonesia dan Qatar.

Brunei berada di tempat ke-12 dengan skor indeks 64.6. Dalam laporan GMTI 2015, Brunei berada di tempat ke-10 dengan skor indeks 64.

ARTIKEL YANG SAMA