Pilihan raya Afrika Tengah 18 Oktober depan

Pilihan raya Afrika Tengah 18 Oktober depan

BANGUI, 19 Jun (Reuters) – Republik Afrika Tengah akan mengadakan pilihan raya presiden dan Parlimen pada 18 Oktober depan.

Pilihan raya tersebut dilihat sebagai penting untuk menamatkan konflik antara agama yang berlarutan selama dua tahun di negara itu, menurut jurucakap kerajaan sementara semalam.

Negara tersebut terjerumus ke dalam kacau-bilau pada Mac 2013 apabila pemberontak Islam Seleka merampas kuasa, mencetuskan tindak balas oleh militia Kristian “anti-balaka”, yang mengusir beribu-ribu penganut Islam dari wilayah selatan negara itu.

Kerajaan sementara yang ada sekarang bertanggungjawab bagi menganjurkan pilihan raya dan mengembalikan pemerintahan demokratik.

Bagaimanapun pilihan raya berulang kali ditangguhkan, dan forum keamanan kebangsaan bulan lepas berkata jadual sebelumnya yang menetapkan pilihan raya diadakan pada Jun atau Julai adalah tidak realistik. Georges Ndamoyen, jurucakap kerajaan sementara, berkata jadual pilihan raya baru sudah dipersetujui berikutan mesyuarat di antara para pegawai kerajaan dan para penderma semalam.

Pengundian akan didahului dengan bancian pengundi bermula pada 27 Jun sehingga 27 Julai serta referendum ke atas perlembagaan baru pada 4 Oktober, katanya.

Pemilihan pusingan kedua, jika diperlukan, akan diadakan pada 22 November.

Pilihan raya itu memerlukan bajet sejumlah 20 bilion CFA francs (AS$34.6 juta) dengan separuh daripadanya sudah dikutip dari sumber-sumber kerajaan dan pembiayaan penderma, kata Ndamoyen.

ARTIKEL YANG SAMA