Pilihan raya presiden Haiti pada 24 Jan

Pilihan raya presiden Haiti pada 24 Jan

PORT-AU-PRINCE, 7 Jan – Pilihan raya presiden Haiti pusingan terakhir akan diadakan pada 24 Januari, disertai dengan pusingan kedua pilihan raya undangan, menurut perintah presiden yang dikeluarkan semalam.

Pilihan raya itu pada asalnya dijadualkan pada 27 Disember tetapi ditangguhkan pada tarikh yang tidak ditetapkan selepas dakwaan penipuan pengundian, yang membangkitkan kebimbangan baru kestabilan di negeri termiskin di Amerika itu.

Dalam pusingan pertama pada 25 Oktober untuk memilih pengganti Presiden Michel Martelly, calon yang beliau sokong, Jovenel Moise, meraih 32.8 peratus undi berbanding 25.3 peratus yang diraih Jude Celestin.

Pusingan terakhir itu dijangka diteruskan pada 27 Disember tetapi kemudian dibatalkan selepas dakwaan penipuan.

Pusingan pertama dan pengiraan berikutnya yang panjang dan tertangguhkan dicemari oleh bantahan di jalan raya yang mendakwa rasuah pegawai.

Celestin enggan berkempen sehingga suruhanjaya pilihan raya bebas ditubuhkan. Dalam laporan suruhanjaya yang disiarkan Ahad lalu, ia mendapati perlaksanaan kerja oleh Lembaga Pilihan raya kerajaan adalah cuai dan membawa kepada banyak penyelewengan.

Pilihan raya presiden pada bulan Oktober adalah cubaan terbaru di negara Caribbean menamatkan ketidakstabilan kronik politik dan berusaha ke arah pembangunan.

Selepas dicemari oleh krisis politik selama bertahun-tahun yang menghalang diadakan sebarang pilihan raya, Haiti mengadakan banyak pengundian dalam tahun 2015, mengadakan pengundian presiden, undangan dan perbandaran. – AFP