Pilihan raya Thailand ditangguh

Pilihan raya Thailand ditangguh

BANGKOK, 4 Ogos (Reuters) – Pilihan raya umum Thailand mungkin ditangguhkan sehingga April 2017 jika draf perlembagaan baharu negara ini ditolak Dewan Pembaharuan Kebangsaan yang dijangka bersidang bulan hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri, Wissanu Kreangam semalam.

Kerajaan tentera yang ditubuhkan selepas rampasan kuasa tahun lalu pada asalnya menyatakan mahu mengadakan pilihan raya bagi mengembalikan demokrasi pada hujung 2015 tetapi kemudian memaklumkan perkara itu terpaksa ditangguhkan sehingga 2016.

Penangguhan itu bagi memberi masa untuk pembaharuan yang didakwa tentera boleh membawa kestabilan selepas lebih 10 tahun perbalahan antara dua kelompok.

Amerika Syarikat dan lain-lain sekutu Thailand mahu melihat demokrasi dikembalikan secepat mungkin tetapi Wissanu memaklumkan kemungkinan penangguhan sekali lagi jika pembaharuan yang dicadangkan itu ditolak.

“Jika Dewan Pembaharuan Kebangsaan mengundi untuk menolak draf perlembagaan ini, kumpulan baharu terpaksa dibentuk bagi menyiapkan draf berasingan diikuti satu pungutan suara. Ini akan melewatkan pilihan raya sehingga 19 bulan,” kata Wissanu.

Tambahnya, jika draf tersebut diluluskan, satu pungutan suara untuk menentukan sama ada draf itu akan digubal bakal diadakan pada 10 Januari 2016 diikuti pilihan raya pada September tahun hadapan.

Kerajaan tentera Thailand sebelum ini bersetuju untuk membuat pungutan suara awam ke atas draf perlembagaan terbaharu itu yang menjadi perlembagaan ke-20 negara ini sejak mengamalkan sistem demokrasi pada 1932.

Pungutan suara awam itu dibuat bagi mengelak kritikan jika perlembagaan tersebut digubal secara paksa. Bagai-manapun, perlembagaan baharu itu dijangka tetap menjadi satu lagi isu politik yang memecahbelahkan rakyat negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA