Pilihan raya umum Thailand Nov 2018

BANGKOK, 10 Okt – Junta tentera Thailand akan mengadakan pilihan raya umum pada November 2018, lebih empat tahun selepas merampas kuasa dan mengenakan pengharaman politik, ia mengumumkan hari ini.

Pengumuman dibuat oleh ketua junta Prayut Chan-O-Cha yang berjanji serta merta sejurus selepas rampasan kuasa pada 14 Mei 2014 bahawa beliau akan mengembalikan kuasa kepada orang awam dalam masa 18 bulan.

Tarikh itu bagaimanapun berulang kali tersasar, malah selepas pilihan raya, pengkritik mengatakan akan ada had ke atas demokrasi di bawah perlembagaan baru dirangka tentera.

“Dalam November 2018, akan ada pilihan raya. Adakah ia jelas?” pemimpin yang selalu kasar itu memberitahu wartawan, menambah bahawa beliau akan mengumumkan tarikh sebenar pada Jun depan.

Beliau juga berkata akan ‘mempertimbangkan masa bagi melonggarkan syarat ke atas parti-parti politik pada masa yang bersesuaian.’

Gambar fail: Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha mengumumkan bahawa Thailand akan mengadakan pilihan raya umum pada November 2018. – AP

Semua politik dan protes sudah diharamkan di bawah rejim Prayut, pemerintahan paling autokratik yang pernah disaksikan Thailand selama satu generasi.

Pilihan raya tidak akan mengembalikan semula tahap demokrasi sama yang wujud sebelum pengambilalihan tentera terbaru di Thailand—sebuah negara yang sudah menyaksikan lebih sedozen kudeta semenjak berakhirnya monarki mutlak pada 1932.

Selepas merampas kuasa, para jeneral mendraf satu perlembagaan baru yang mengekang kuasa ahli politik yang dipilih dan menyeru bagi satu Senat atau Dewan Tinggi yang dilantik sepenuhnya, dengan beberapa tempat diperuntukkan untuk ketua tentera.

Ia juga mengukuhkan mahkamah perlembagaan, satu isu berduri dalam pihak kerajaan dipilih, menjadikannya lebih mudah untuk mendakwa seorang pemimpin awam.

Junta juga memantapkan lagi peranan kerajaannya dengan mengisytiharkan bahawa sebarang pentadbiran masa depan mestilah mematuhi ‘rancangan perikatan secara undang-undang 20 tahun’ bagi negara itu. – AFP