Pilkada di lima daerah ditunda

Pilkada di lima daerah ditunda

JAKARTA, 9 Dis – Pilihan raya Kepala Daerah (Pilkada) di lima daerah yang sepatutnya berlangsung secara serentak di seluruh Indonesia hari ini terpaksa ditunda atas masalah teknikal.

Media tempatan melaporkan Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU) Republik Indonesia hari ini mengumumkan lima daerah terlibat ialah Wilayah Kalimantan Tengah, Kabupaten (Daerah) Fakfak di Papua, Kabupaten Simalungun dan Kota Pematangsiantar di Sumatra Utara dan Kota Manado di Sulawesi Utara.

Bagi kes pemilihan Gabenor dan Naib Gabenor Kalimantan Tengah, Pilkada ditunda kerana nama sepasang calon tidak dicetak dalam kertas undi.

Masalah calon itu berpunca apabila pasangan pencalonan pasangan Ujang Iskandar/Jawawi dari parti Gerindra sebelumnya dibatalkan oleh KPU setelah terdapat aduan mengenai surat sokongan parti untuk pasangan itu adalah tidak tulen.

Bagaimanapun pasangan itu kemudiannya membuat pengaduan kepada Pengadilan Tinggi Tata Usaha Negara (PTTUN) di Jakarta dan semalam pihak berkuasa itu mengesahkan pasangan berkenaan layak untuk bertanding tetapi malangnya nama mereka tidak dicetak dalam kertas undi.

Tiga pemerhati asing memerhatikan senarai nama pengundi tatkala mereka melawat salah sebuah pusat mengundi di Serpong, Tanggerang Selatan, Banten, Indonesia, pada 9 Disember 2015. – Agensi
Tiga pemerhati asing memerhatikan senarai nama pengundi tatkala mereka melawat salah sebuah pusat mengundi di Serpong, Tanggerang Selatan, Banten, Indonesia, pada 9 Disember 2015. – Agensi

Disebabkan itu, KPU terpaksa mencetak semula kertas undi dan tarikh baharu pilihan raya bagi wilayah itu akan diumumkan kelak.

Dengan keputusan itu Wilayah Kalimantan Tengah menyaksikan pertarungan tiga penjuru iaitu antara pasangan Ujang Iskandar/Jawawi dengan Sugianto Sabran-Habib H.Said Ismail dan pasangan Willy Yoseph-Wahyudi K.Anwar.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Tjahjo Kumolo dipetik sebagai berkata Pilkada kelima-lima buah daerah itu harus diadakan dalam tempoh 21 hari mulai hari ini selaras dengan Undang-undang Pilkada.

Menurut laporan televisyen tempatan, Pilkada yang berlangsung separuh hari berjalan dengan lancar dan tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku setakat ini.

Pertama kali dalam sejarah Indonesia, negara itu mengadakan pilihan raya kepala daerah atau Pilkada secara serentak di sembilan wilayah, 36 kota dan 224 kabupaten hari ini.

Sebanyak 100,461,890 pemilih berdaftar layak mengundi untuk memilih pemegang kuasa eksekutif iaitu Gabenor, Walikota dan Bupati di daerah masing-masing.

Dua wilayah tidak terlibat dalam Pilkada 2015 iaitu Aceh dan Daerah Khusus Ibukota Jakarta manakala jawatankuasa eksekutif di Jogjakarta pula disandang keturunan kesultanan Hamengkubuwono dan Raja Paku Alam. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA