Pilkada serentak seluruh Indonesia hari ini

Pilkada serentak seluruh Indonesia hari ini

JAKARTA, 8 Dis – Buat pertama kali dalam sejarah Indonesia akan mengadakan pilihan raya kepala daerah atau Pilkada secara serentak di sembilan wilayah, 36 kota dan 224 kabupaten (daerah), esok.

Pilkada bagaimanapun dikecualikan bagi Jogjakarta kerana daerah itu diberi keistimewaan kepada keluarga diraja Hamengkubuwono untuk melantik Gabenor dan Naib Gabenor dalam kalangan mereka menurut adat istiadat istana.

DKI Jakarta pula tidak menyertai Pilkada serentak itu kerana kota ibu negara itu baru sahaja mengadakan Pilkada pada tahun lepas.

Tinjauan Bernama mendapati suasana kempen Pilkada kurang rancak dancalon-calon lebih berkempen secara perdebatan umum di dewan-dewan tertentu sahaja.

Presiden Indonesia Joko Widodo dipetik oleh media-media tempatan sebagai menyifatkan adalah sesuatu yang menghairankan kerana buat pertama kalinya Pilkada menjadi sepi apabila berlangsung secara serentak.

Pesuruhjaya Pemilihan Umum (KPU) Arief Budiman dipetik sebagai berkata, Pilkada sepi kerana alat peraga kempen yang terbatas seperti pemidang, papan iklan, video iklan dan sepanduk, sebaliknya kebanyakan calon menggunakan kertas-kertas cetakan untuk diedarkan kepada pengundi.

Menurut KPU sebanyak 100,730,542 pemilih layak untuk mengundi dalam Pilkada 2015 bagi memilih 1,658 calon bagi merebut jawatan kepala daerah iaitu Gabenor dan Naib Gabenor, Bupati dan Naib Bupati serta Walikota dan Naib Walikota.

Daripada jumlah itu sebanyak 1,534 calon yang bertanding ialah lelaki manakala 124 calon lagi wanita.

Buat pertama kalinya juga Pilkada 2015 akan menyaksikan sebanyak 139 calon Bebas bertanding atas tiket perseorangan manakala selebihnya adalah calon dari parti-parti politik manakala penyandang Bupati dan Naib Bupati di tiga daerah berjaya mengekalkan jawatan masing-masing apabila tidak menerima pencabar.

Sebelum ini, Indonesia tidak pernah membenarkan calon Bebas bertanding kerana pilihan raya adalah memilih parti-parti politik dan bukannya individu dan tidak pernah berlaku kemenangan tanpa bertanding.

Tiga penyandang Bupati dan Naib Bupati yang menang tanpa bertanding ialah Uu Ruzhanul Ulum dan H.Ade Sugianto dari parti Golkar bagi daerah Tasikmalaya di Jawa Barat, Rijanto dan Marheinis Urip Widodo dari PDI-P dan Gerindra bagi daerah Blitar di Jawa Timur dan Raymundus Sau Fernandes dan Aloysius Kobes dari PDI-P bagi daerah Nusa Tenggara Timur.

Pemerhati politik tempatan memberi tumpuan kepada calon popular dan antara yang mendapat perhatian ialah Walikota Surabaya Tri Rismaharini dari parti PDI-P pimpinan bekas presiden Megawati Soekarno Putri yang dicabar Rasiyo dari Parti Demokrat pimpinan bekas presiden Susilo Bambang Yuhodyono.

Pemerhati politik berpendapat, Rasiyo melalui jalan sukar untuk mencabar Walikota wanita tunggal di Indonesia yang terkenal di peringkat antarabangsa apabila dianugerahkan sebagai Datuk Bandar Terbaik ketiga di dunia 2014 oleh The World Mayor Prize (WMP) iaitu sebuah yayasan dunia yang menilai kepemimpinan bandaraya di seluruh dunia.

Selain itu, Pilkada 2015 juga dimeriahkan dengan penyertaan golongan artis sebagai calon dan antaranya penyanyi terkenal dari kumpulan Ungu, Sigit Purnomo Syamsuddin Said atau Pasha Ungu mewakili Parti Kebangkita Bangsa (PKB) merebut jawatan Naib Walikota bagi Kota Palu di Sulawesi Tengah.

Penyanyi pop Maya Rumantir pula bertanding mewakili Parti Demokrat bagi jawatan Gabenor Sulawesi Utara manakala pelakon sinetron Zumi Zola Zulkifli mewakili Parti Amanat Nasional (PAN) untuk jawatan Gabenor Jambi bagi menggantikan tempat ayahnya Zulkifli Nurdin yang telah memegang jawatan itu selama dua penggal. – Bernama