Pindahan aset 1MDB dijangka selesai pada pertengahan Jun

Pindahan aset 1MDB dijangka selesai pada pertengahan Jun

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Pindahan aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dijangka selesai pada pertengahan Jun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani.

Kemudian cabang pelaburan strategik kerajaan itu akan menjadi syarikat tidak aktif untuk menguruskan liabiliti dan bonnya yang ia telah terbitkan, katanya.

“Kementerian juga memutuskan 1MDB tidak lagi dibenarkan untuk membuat pinjaman daripada mana-mana institusi dan perlu menguruskan liabiliti dan bonnya melalui apa juga cara,” kata Johari kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau juga berkata nilai aset dipindahkan dijangka meningkat dan mencukupi untuk menampung semua liabiliti 1MDB termasuk komitmen bonnya.

Mengenai penutupan operasi BSI Bank Ltd (BSI Bank) di Singapura, Johari berkata ia tidak akan memberi sebarang impak kepada operasi 1MDB.

“1MDB tidak mempunyai banyak urus niaga dengan mereka (BSI Bank),” katanya.

Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) mengumumkan pada Selasa ia mengarahkan penutupan BSI Bank milik Switzerland di Singapura.

Notis hasrat telah diserahkan kepada bank itu untuk menarik balik statusnya sebagai bank saudagar di Singapura berhubung pelanggaran serius syarat-syarat anti pengubahan wang haram, pengawasan pengurusan operasi bank yang lemah dan salah laku oleh beberapa kakitangan bank. Terdahulu dilaporkan pengawal selia kewangan Switzerland bersetuju dengan pengambilalihan dan pembubaran BSI Bank, yang terbabit dalam siasatan 1MDB. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA