Pinera presiden baharu Chile

VALPARAISO, 12 Mac – Jutawan konservatif Sebastian Pinera mengangkat sumpah semalam bagi penggal keduanya sebagai presiden Chile, menggantikan Michelle Bachelet dari parti sosialis buat kali kedua dalam tempoh lapan tahun.

Bachelet dengan penuh emosi membantu Pinera memakai selempang, kemudian meninggalkan kongres bersama para anggota kerajaannya.

Pinera, yang menjadi presiden dari tahun 2010 hingga 2014 berjanji akan merangsang pertumbuhan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Dia membuat gesaan yang keras bagi perpaduan kebangsaan dalam ucapan pertamanya yang disampaikan dari anjung istana presiden La Moneda lewat semalam, menjanjikan ‘budaya dialog yang sihat, persetujuan dan kerjasama.”

“Kami komited menjadi sebuah kerajaan bagi kemajuan dan perpaduan yang akan membolehkan kami dalam tempoh lapan tahun untuk mengubah Chile menjadi sebuah negara membangun tanpa kemiskinan,” ujar Pinera yang disertai oleh isterinya Cecilia Morel.

Usahawan komunikasi berusia 68 tahun itu memegang jawatan sebagai presiden ketika ekonomi Chile menunjukkan tanda-tanda pemulihan dari tempoh pertumbuhan yang perlahan disebabkan harga tembaga yang rendah, yang menjadi eksport terbesar negara itu.

“Masa yang menggembirakan akan tiba,” laungan penyokongnya selepas Pinera mengangkat sumpah.

Bachelet menerima sorakan daripada para penyokong apabila dia mengakhiri penggal kedua sebagai presiden yang mana dia telah menyelesaikan pakej reformasi yang bertujuan menghapuskan legasi institusi kepimpinan diktator Augusto Pinochet dalam tahun 1973-1990.

Para pemimpin dari negara-negara jiran Amerika Latin termasuk Argentina, Bolivia, Mexico dan Peru termasuk bekas Raja Sepanyol Juan Carlos menghadiri upacara pelantikan di kongres di bandar pantai Valparaiso.

Kemudian, presiden baharu itu memilih sebuah pusat perlindungan bagi kanak-kanak berisiko di daerah mundur, Santiago untuk mengumumkan langkah pertamanya sebagai presiden iaitu reformasi perlindungan kerajaan terhadap kanak-kanak yang terdedah dengan bahaya. – AFP