Pinjaman peribadi, kad kredit punca hutang meningkat

Pinjaman peribadi, kad kredit punca hutang meningkat

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Terlalu mudah untuk mendapat kelulusan pinjaman peribadi dan kad kredit menjadi antara punca utama kepada hutang isi rumah negara yang sangat tinggi, menurut pakar ekonomi.

Keadaan semakin rumit dengan wujudnya peminjam wang tidak berlesen atau “Ah Long” yang sentiasa bersedia untuk memberikan pinjaman peribadi tetapi pada kadar faedah yang begitu tinggi.

Menurut Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Dr Shazali Abu Mansor, hutang yang dibuat menerusi pinjaman daripada Ah Long serta kad kredit memerlukan kawalan dan penguatkuasaan, kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap hutang isi rumah.

“Sekarang ini lepasan universiti pun boleh mohon kad kredit dan memudahkan mereka berbelanja,” katanya kepada Bernama.

Katanya pinjaman menerusi Ah Long juga satu perkara yang sangat membimbangkan.

” Ah Long ini tidak berlesen dan kita tidak tahu berapa banyak hutang isi rumah yang diambil melalui Ah Long. Seharusnya kita perlu beri tumpuan kepada isu ini (pinjaman Ah Long) kerana ia lebih bahaya,” katanya yang menggesa supaya pihak berkuasa meneliti hutang isi rumah menerusi pinjaman daripada sumber yang tidak berlesen.

Pada masa ini paras hutang isi rumah negara adalah 89 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu antara yang tertinggi di Asia.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Muhammad Ibrahim dilaporkan sebagai berkata hutang isi rumah adalah antara bidang yang sentiasa dipantau oleh bank pusat berkenaan.

Shazali berkata apa yang membimbangkan berkaitan hutang isi rumah adalah ramai yang membuat pinjaman untuk membeli barangan mewah, mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran dan barangan yang tidak perlu, hanya untuk bermegah-megah.

“Terdapat dua jenis hutang iaitu hutang produktif dan hutang tidak produktif. Hutang produktif adalah hutang yang memberi faedah dan keuntungan serta kesejahteraan kepada individu itu seperti pembelian rumah dan melabur dalam akaun pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB).

“Hutang tidak produktif adalah hutang untuk bermegah-megah dan membeli barangan mewah, yang tidak memberi faedah malah hanya membebankan individu itu,” katanya.

Katanya bagi memastikan isi rumah tidak dibebani dengan kadar hutang yang tinggi, institusi kewangan dan perbankan berperanan untuk memastikan orang ramai membuat pinjaman berdasarkan kemampuan mereka.

“Pihak bank atau institusi kewangan boleh memberi nasihat kepada peminjam sama ada hutang yang dibuat itu melibatkan kehendak atau keperluan. Ini amat pen-ting kepada para peminjam,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA