Pinterest tarik 100 juta pengguna

Pinterest tarik 100 juta pengguna

SAN FRANCISCO, 17 Sept (AFP) – Lebih 100 juta pengguna sedang menggunakan Pinterest, perkhidmatan gaya papan buletin online yang membenarkan orang “meletakkan” gambar berdasarkan minat mereka, kata syarikat California semalam.

Pengasas bersama Evan Sharp memberitahu AFP kebanyakan pengguna “bukan sahaja mengunjungi Pinterest sekali sebulan, tetapi sebenarnya mereka menemui sesuatu amat menarik sehingga mereka menyimpannya atau mengklik menerusi laman web.”

“Ia adalah 100 juta pengguna aktif, lebih 70 peratus di antara mereka terbabit secara aktif,” kata beliau dalam satu temu bual telefon. Pendedahan daripada Pinterest adalah kali pertama sejak ia dilancarkan pada Mac 2010 di mana ia membincang jumlah penggunanya.

Sharp berkata kebanyakan pengguna Pinterest adalah wanita tetapi mendapati jurang jantina “semakin rapat setiap bulan.”

Berdasarkan angka terbaru, Pinterest masih di belakang aplikasi Instagram milik Facebook, juga perkhidmatan perkongsian gambar, yang mendakwa mempunyai kira-kira 300 juta pengguna.

Namun Sharp berkata kedua-dua platform itu mempunyai keperluan berlainan dan penonton berlainan.

“Instagram lebih merupakan perkhidmatan sosial,” kata beliau.

“Ia lebih kurang sama dengan rangkaian sosial,” sementara Pinterest “lebih merupakan satu bar gelintar,” kata beliau.

“Mengenai Pinterest, anda mencari sesuatu, anda menemui satu kumpulan hebat, anda boleh membeli kumpulan itu. (Kedua-dua platform) itu mempunyai matlamat berlainan.”

Pinterest telah bersusah payah mengelak daripada dilabel sebagai satu rangkaian sosial. Pada awal tahun ini, pengasas bersama dan ketua eksekutif Ben Silbermann menggambarkan Pinterest sebagai “satu katalog idea” untuk membantu orang menemui dan mencuba perkara baru dalam hidup mereka.