Pintu masuk industri bioteknologi ke ASEAN

Pintu masuk industri bioteknologi ke ASEAN

PHILADELPHIA, Amerika Syarikat, 17 Jun (Bernama) – Kepelbagaian bio, kemudahan infrastruktur dan suasana perniagaan kondusif yang dimiliki Malaysia mampu menjadikan negara sebagai pintu masuk industri bioteknologi ke ASEAN.

Duta Malaysia di Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata negara perlu mengambil peluang sebagai pengerusi ASEAN bagi menonjolkan nilai saranan unik Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN untuk pelaburan dan perniagaan.

“Kita mempunyai banyak kelebihan. Macam Singapura, mungkin mereka lebih maju (berbanding Malaysia), namun di sana lebih mahal (dalam menjalankan perniagaan). Di Malaysia, kita ada ‘biodiversiti’ yang lebih menarik (minat pelabur asing).

“Dalam bidang bioekonomi ini, kita berpotensi menjadi pintu masuk bagi negara ASEAN selain dari persekitaran kita yang mesra pelaburan dan kemudahan infrastruktur yang bagus,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan puvilion Malaysia di Konvensyen Bio Antarabangsa (BIO) 2015 di sini, hari ini.

Turut hadir pada perasmian itu ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) Kementerian Sains, Tekologi dan Inovasi Dr Zulkifli Mohamed Hashim.

Terdahulu dalam ucapannya, Awang Adek berkata Malaysia berusaha untuk menunjukkan kemampuan bioekonomi negara, dengan penubuhan Program Transformasi Bioekonomi (BTP).

“Kami akan berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan Malaysia terus menjadi tarikan utama untuk menarik minat terhadap pertumbuhan sektor berasaskan bio dalam negara serta ASEAN.

“Sudah ada petanda positif – dengan pelaburan US$5.3 bilion (RM20 bilion) sudah dicapai, kita telah melepasi sasaran US$2.39 bilion (RM9 bilion) pada fasa semasa dari aspek Sains kepada Perniagaan mengikut Dasar Bioteknologi Negara (NBP) dari 2011 hingga 2015,” katanya.

Beliau berkata fasa terakhir NBP iaitu Perniagaan Global yang akan bermula tahun depan hingga 2020, adalah penting bagi melihat semua usaha, strategi, dan dasar dalam bioteknologi yang disepadukan dan diselaraskan untuk negara, mencapai sasaran berkenaan.

“Fasa tersebut juga merupakan satu peluang kepada kita bagi mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia di peta dunia sebagai hab utama bioteknologi, untuk kemakmuran Malaysia serta wilayah ASEAN.

“Saya yakin acara antarabangsa seperti Konvensyen Bio Antarabangsa akan menjadi platform berkesan untuk meningkatkan profil Malaysia dan nilai cadangan, di samping menggalakkan hubungan erat dengan negara luar dalam bidang bioekonomi,” katanya.

BIO 2015 selama empat hari bermula 15 Jun membincangkan pelbagai topik yang relevan dengan industri bioteknologi, termasuk: penjagaan kesihatan, harta intelek, isu alam sekitar dan pembangunan perniagaan.

Program pendidikan BIO meliputi pelbagai topik dan bersifat semasa yang sesuai untuk pelbagai bidang profesional.