Pintu masuk negara sesak tapi lancar

Pintu masuk negara sesak tapi lancar

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Dis – Kesesakan di pintu sempadan negara yang membabitkan Brunei, Miri dan Limbang (Malaysia) pada setiap penghujung tahun berbeza sekali berbanding pada waktu percutian sekolah atau hari-hari kelepasan awam.

Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dalam kenyataannya berkata, pintu imigresen keluar/masuk antara Brunei, Miri dan juga Limbang penuh sesak dengan deretan kereta sepanjang beberapa kilometer sejak pukul 7 pagi lagi.

Media Permata sempat membuat tinjauan dan menemu bual beberapa orang pengunjung yang rata-rata berpendapat bahawa prosedur pemeriksaan pasport di bahagian imigresen berjalan dengan lancar dan baik, walaupun penuh sesak dengan kenderaan.

Menurutnya Dayang Muliani binti Akup, 36, dari Kampung Sinarubai, walaupun pintu keluar masuk imigresen tersebut kelihatan penuh dengan deretan kenderaan, tetapi pergerakan proses pemeriksaannya agak lancar berbanding pada tahun-tahun yang lalu, lebih-lebih lagi dengan pembukaan lebih banyak pintu kaunter pemeriksaan bagi memudahkan lagi proses pemeriksaan pasport.

Pendapat yang sama juga turut dikongsi oleh Awang Zulhilmi dan Awang Zulfadhli, mereka menyatakan keadaan semasa pemeriksaan di bahagian imigresen tersebut berjalan dengan lancar dengan pembukaan lebih banyak kaunter pemeriksaan pasport.

Manakala seorang lagi semasa ditemui, Haji Saat pula berkata, lebih banyak kaunter telah dibuka pada hari ini dan ianya dapat mengurang kesesakan kenderaan yang keluar/masuk ke negara ini dan melancar perjalanan mereka.

Dalam pada itu, Pasukan Polis Diraja Brunei juga menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati ketika membuat perancangan sebelum memulakan perjalanan.

ARTIKEL YANG SAMA