Pintu sempadan dibuka hingga 12 malam

Pintu sempadan dibuka hingga 12 malam

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) – Operasi di empat pintu masuk di sempadan Sarawak dan Brunei yang kini dibuka dari 6 pagi hingga 10 malam akan dilanjutkan sehingga 12 tengah malam, berkuat kuasa mulai Selasa ini (1 Sept).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Mustafa Ibrahim berkata waktu permulaan operasi di empat pintu masuk yang terlibat iaitu Sungai Tujuh (Miri), Tedungan (Limbang), Pandaruan (Limbang) dan Mengkalap (Lawas) adalah tetap seperti biasa, iaitu mulai 6 pagi.

Selaras dengan pelaksanaan baru ini, beliau berkata pihak Brunei turut akan melaksanakan waktu operasi yang sama.

“Langkah melanjutkan operasi pintu-pintu masuk di sempadan Sarawak-Brunei ini penting bagi memenuhi keperluan serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mustafa berkata JIM berharap agar kemudahan ini akan memudahkan lagi perhubungan antara rakyat di kedua-dua negara.

“Ia juga dijangka meningkatkan lagi kerjasama sosio-ekonomi rakyat sekitar sempadan Malaysia-Brunei,” kata Mustafa.

Pada 11 Ogos, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa operasi di pintu masuk di sempadan Malaysia dan Brunei yang dibuka dari 6 pagi hingga 10 malam akan dilanjutkan sehingga 12 malam.

Perkara itu dicapai hasil persetujuan bersama antara beliau dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Perundingan Tahunan Kali ke-19 di Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA