Pique digantung empat perlawanan

Pique digantung empat perlawanan

MADRID, 20 Ogos – Pertahanan Barcelona, Gerard Pique terlepas empat perlawanan musim baharu La Liga Sepanyol kerana tindakannya terhadap pegawai perlawanan ketika pertembungan Piala Super Sepanyol menentang Athletic Bilbao.

Pique diarahkan keluar padang selepas ditunjukkan kad merah oleh pengadil atas kelakuannya terhadap penjaga garisan pada pertembungan timbal balik, awal pagi Selasa lalu yang berakhir dengan keputusan 1-1.

Bilbao mencatat kemenangan menerusi agregat 5-1 hasil kejayaan besar 4-0 pada perlawanan pertama di laman sendiri.

Jumlah penggantungan itu disahkan jawatankuasa disiplin bola sepak Sepanyol, hari ini. Barcelona dalam pada itu mengesahkan akan membuat rayuan terhadap hukuman itu.

Andai rayuan itu gagal, Pique akan terlepas perlawanan pembukaan La Liga Barca menentang Bilbao di laman lawan, awal Isnin ini selain kunjungan ke Atletico Madrid dan perlawanan bertemu Malaga dan Levante.

Iniesta (kanan) menenangkan Pique selepas dibuang padang semasa menentang Bilbao di stadium Camp Nou 17 Ogos lalu. – AFP
Iniesta (kanan) menenangkan Pique selepas dibuang padang semasa menentang Bilbao di stadium Camp Nou 17 Ogos lalu. – AFP

Menurut laporan pengadil, Pique dikatakan menghamburkan kata-kata hinaan yang serius kepada penjaga garisan.

Sekalipun sudah meminta maaf atas tindakannya, Pique menegaskan dia tidak menggunakan perkataan kesat seperti yang dituduh pengadil.

“Saya mahu meminta maaf kerana sikap yang saya tunjukkan kerana memprotes penjaga garisan yang keputusannya tidak betul,” kata Pique dalam laman sosial Twitter miliknya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA