Pique: Messi mampu bangkit

Pique: Messi mampu bangkit

PARIS, 29 Jun (AFP) – Rakan sepasukan Lionel Messi di Barcelona, Gerard Pique menegaskan pemain Argentina itu boleh menangani kekecewaan kalah final keempat pada peringkat antarabangsa, yang menyebabkan Messi memutuskan bersara daripada kancah antarabangsa.

Messi, 29, meninggalkan padang dalam tangisan kelmarin selepas sepakan penaltinya melepasi palang ketika Chile mengalahkan Argentina dalam penentuan penalti untuk menjuarai Copa America Centenario di New Jersey, Amerika Syarikat.

“Saya belum lagi bercakap dengannya. Saya tahu ia sama seperti orang lain. Saya fikir ia sesuatu yang terlalu sukar untuk diterimanya malam tadi,” jelas Pique, selepas dia sendiri mengalami kekecewaan apabila Itali menewaskan Sepanyol 2-0 pada pusingan kedua Euro 2016, awal pagi semalam.

“Saya tahu dia seorang yang amat kompetitif dan dia boleh menanganinya seperti beberapa kali sebelum ini.”

Messi meraih 28 trofi bersama Barcelona dan dinobat pemain terbaik tahunan dunia sebanyak lima kali.

Bagaimanapun, dia tidak pernah meraih kejayaan bersama Argentina pada kejohanan utama antarabangsa selepas turut kalah pada final Copa America 2007 dan 2015 serta Piala Dunia 2014.