Pique nafi tunjuk isyarat lucah

Pique nafi tunjuk isyarat lucah

UEFA-Euro-2016-Logo

BORDEAUX, 22 Jun (AFP) – Pertahanan Barcelona Gerard Pique menafikan dia menunjukkan isyarat lucah menggunakan jari tengahnya ketika lagu kebangsaan Sepanyol dinyanyikan sebelum pertemuan menentang Croatia dalam saingan Euro 2016.

Pique, sebahagian penduduk wilayah Catalan yang lantang memperjuangkan pemisahan wilayah itu daripada Sepanyol, mewakili pasukan La Roja ketika pasukan juara bertahan itu tewas mengejut 2-1 di tangan Croatia.

“Saya hanya menyilangkan jari saja. Kita sepatutnya berhenti memperkatakan hal kontroversi yang tidak wujud. Lebih baik kita berusaha menang Euro bersama,’’ kata Pique menerusi akaun Twitter.

Akhbar sukan Sepanyol, Marca, yang kerap membidas aksi kontroversi Pique selama ini turut kesal dengan tuduhan pihak tertentu ke atas Pique. Pengurus La Roja, Vicente del Bosque juga bingung apabila diajukan soalan mengenai gelagat Pique berkenaan. “Saya di sini hanya bercakap soal bola sepak sahaja,’’ kata Del Bosque.

Pique pernah diejek dan segelintir penyokong Sepanyol meniup wisel ke arahnya awal musim ini sebagai tanda protes ke atas komennya selepas Barcelona menang gelaran liga mengatasi Real Madrid bagi musim 2014/15.

Bagaimanapun, Pique disambut sebagai wira sejurus Sepanyol menewaskan Turki 3-0 jumaat lalu dan sekali lagi menerima sambutan sama ketika membantu kejayaan La Roja menang menerusi gol tunggalnya ketika menewaskan Republik Czech 1-0.