Piston juara badminton PEMODA

Piston juara badminton PEMODA

Oleh Mohammad Abdullah

 

TUTONG, 21 Jan – Pasukan Piston muncul juara Kejohanan Badminton PEMODA 2016 setelah berjaya menewaskan Pasukan Sprocket 3-2 ketika perlawanan akhir yang menampilkan persaingan yang sangat hebat daripada kedua-dua pasukan.

Riuh rendah kedengaran dari luar Dewan Kemasyarakatan Tutong apabila para penyokong kedua-dua pasukan melaungkan suara untuk memberi semangat kepada pasukan mereka.

Perlawanan pertama beregu lelaki, Piston telah berjaya mengalahkan Pasukan Sprocket dengan ‘straight set’, manakala pemain perseorangan lelaki pertama Pasukan Piston pula tewas di tangan Sprocket bagi menyamakan kedudukan 1-1.

Beregu wanita pula, Sprocket telah mengalahkan Piston, walau bagaimanapun perseorangan lelaki kedua Piston berjaya menyamakan kembali kedudukan setelah menewaskan lawannya.

Juara Kejohanan Badminton PEMODA 2016, Pasukan Piston bergambar ramai bersama penyokong mereka.
Juara Kejohanan Badminton PEMODA 2016, Pasukan Piston bergambar ramai bersama penyokong mereka.

Dengan kedudukan seri itu, kedua-dua pasukan mengharapkan beregu mereka akan dapat mengatasi lawannya. Persaingan yang hebat telah pun ditampilkan oleh kedua-dua pasukan hinggalah perlawanan memasuki ‘rubber set’ bagi penentuan dan akhirnya Pasukan Piston berjaya mengatasi beregu Sprocket untuk memenangi kejohanan tersebut.

Yang Di-Pertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad mengatakan bahawa walaupun perlawanan menjelang sehingga lewat malam, akan tetapi semangat kesukanan dan jiwa setia kawan yang ada dalam PEMODA sangat ketara, apatah lagi bila penyokong-penyokong setiap pasukan mengikuti setiap jejak langkah pemain semasa tiga hari perlawanan ini.

“Alhamdulillah acara bulu tangkis sudah pun selesai dan ada beberapa acara sukan lagi yang tinggal dalam kalender Program Pembangunan PEMODA.”

Beliau turut menambah, “matlamat yang mana silaturahim akan diperkukuhkan dan mempertingkatkan kesihatan melalui sukan juga tercapai. Persatuan ini adalah seperti keluarga kedua, malah semangat setia kawan yang kukuh dan sokongan padu kepada persatuan telah memperkukuhkan lagi melalui Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) sebagai persatuan motosikal yang terunggul di kepulauan Borneo ini.”

ARTIKEL YANG SAMA