Piza berkalsium tinggi daripada ekstrak tulang ikan tamban

Piza berkalsium tinggi daripada ekstrak tulang ikan tamban

KUALA NERUS, 16 Ogos – Mungkin bagi kebanyakan orang, tulang ikan tidak mendatangkan manfaat melainkan ia akhirnya menjadi sisa yang dibuang ke dalam tong sampah.

Namun, sekumpulan sembilan pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta sejarah dengan menghasilkan roti piza berkalsium tinggi pertama di dunia daripada ekstrak tulang ikan tamban.

Wakil penyelidik projek itu Dr Mohd Sabri Mohd Ghazali berkata sisa tulang ikan tamban di negeri ini amat banyak kerana digunakan dalam industri keropok lekor dan keropok kering, yang menjadi antara sumber ekonomi rakyat Terengganu.

Malangnya, sisa tulang ikan berkenaan gagal diuruskan dengan baik kerana sering dibuang ke dalam sungai dan di tempat pengumpulan sampah.

“Justeru itu, menerusi ilham Koperasi Bukit Guntung, Manir yang menjalankan perniagaan piza, kami sama-sama membangunkan inovasi itu dan memanfaatkan tulang ikan tamban sebagai bahan berkalsium tinggi dalam roti piza,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Sabri berkata pemanfaatan tulang ikan itu dibangunkan dengan bantuan Dana Community Innovation (CIF) daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan.

Menerusi kerjasama itu, tulang ikan tamban diproses menjadi serbuk hidroksiapatit (HA) yang tinggi kalsium, sekali gus menjadikan roti piza lebih berkhasiat berbanding roti piza biasa.

“Mengikut penyelidikan kami, kebanyakan roti piza biasa mengandungi kira-kira 40 miligram (mg) kalsium sahaja, jika diletakkan serbuk tulang ikan ini, ia akan meningkat sehingga 240 mg kalsium (bagi sekeping roti),” katanya.

Sementara itu, Pengurus Koperasi Bukit Guntung, Nurul Hanani Ismail berkata penghasilan ekstrak daripada tulang ikan tamban memberikan nilai tambah kepada roti piza yang dijual oleh koperasi berkenaan kepada para pembekal.

“Sebelum ini, piza jualan kami lebih dikenali sebagai Street Pizza. Jadi setelah kita letak serbuk ini, kita akan menjenamakan semula dengan nama MyStreet Pizza,” katanya.

Selain mempunyai lebih kalsium, piza itu lebih lembut selain mudah diuli dan dibentuk. “Penghasilan roti piza berkalsium tinggi juga secara tidak langsung memberi peluang keusahawanan kepada masyarakat setempat yang berminat menjadi usahawan.

“Kita bersedia memberikan latihan kepada individu yang berminat menjadi ejen atau membuka kiosk bergerak piza berkhasiat ini,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA