PKBN satu pengalaman berguna

PKBN satu pengalaman berguna

Oleh Yusrin Junaidi dan Salawati Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Terpilih menjadi salah seorang pelatih di bawah Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) merupakan satu pengalaman yang tidak akan dilupakan dan menjadi kebanggaan bagi diri setiap peserta yang terpilih memasuki program berkenaan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Awang Ahmad Mamduh bin Abdul Wahab, yang merupakan bekas pelatih daripada Rintis Pertama PKBN yang kini seorang pelajar di Institut Teknologi Brunei (ITB), dalam jurusan pemasaran yang mengikuti pameran sempena Lawatan Kerja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mempamerkan salah satu komponen PKBN iaitu keusahawanan.

“Alhamdulillah, di sini ada beberapa pengusaha tempatan sendiri, mempamerkan kemahiran mereka,” ujar Awang Ahmad Mamduh.

“Komponen PKBN dalam keusahawanan ini melahirkan belia yang mempunyai pengetahuan dalam bidang keusahawanan seperti asas perniagaan, pengurusan kewangan dan sebagainya. Ia juga sebagai langkah dorongan dan membina semangat serta keinginan para belia untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya yang dapat menyumbang secara positif kepada pembangunan negara,” ujar Awang Ahmad Mamduh lagi.

Sementara itu, 1156 Sabrina binti Haji Mahmud, bekas pelatih projek rintis pertama PKBN yang kini mahasiswi di Universiti Islam Sultan Sharif Ali dalam jurusan Bachelor of Law dan Bachelor of Syariah Law berkata, mengenai dengan Alumni PKBN yang kini berjumlah seramai 1131 orang.

Menurut 1156 Sabrina, Alumni PKBN ditubuhkan untuk menjadi platform supaya bekas pelatih akan dapat menaburkan bakti mereka kepada negara, di samping menjadi aset negara yang boleh memberikan contoh kepada belia-belia yang lain.

“Sesungguhnya belia-belia lepasan PKBN adalah merupakan ‘Pride of a Nation’ dan berupaya untuk mengangkat imej negara sebagai belia-belia yang berdisiplin tinggi, prihatin, berwawasan dan mempunyai semangat cintakan negara,” ujar Sabrina.

Media Permata juga berkesempatan menemu bual salah seorang peserta PKBN pengambilan kelima, Awangku Mohd Al-Israa’ bin Pengiran Haji Adanan, yang mengongsikan pengalamannya ketika dalam latihan yang mana sesukar apa pun yang dihadapi semasa dalam latihan merupakan satu cabaran yang harus mereka tempuhi dan laksanakan dalam mendidik diri mereka menjadi seorang yang penyabar, tidak putus asa dan terus bergerak ke hadapan.

Dayang Asmahwati binti Haji Yahya, ibu kepada Awangku Mohd Al-Israa’ merasa cukup bangga atas kejayaan yang dicapai oleh anak beliau.

“Walaupun ini hanya sebagai permulaan dan masih jauh lagi perjalanan anak saya yang harus tempuhi, dengan adanya latihan asas di PKBN, Insya Allah anak saya akan dapat mandiri sendiri untuk mendapatkan yang terbaik,” ujar Dayang Asmahwati.